Berita Utama

Surat sokongan: Timbalan menteri kesal, ambil iktibar

Janji beri penjelasan berhubung isu di Parlimen Isnin depan

TANAH MERAH, 3 Muharram 1442H, Sabtu – Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mengakui kesal dan mengambil iktibar berhubung isu surat sokongan bagi melantik anaknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga yang tular sejak semalam.

Ahli Parlimen Tanah Merah itu berkata walaupun perkara itu telah dijelaskan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini namun beliau bercadang menjelaskan isu berkenaan dengan lebih lanjut di Parlimen pada Isnin ini kerana mungkin terdapat salah faham.

“Surat yang ditularkan itu sudah lama, bertarikh 5 Jun lalu, dan anak saya juga sudah maklum bahawa dia tidak dilantik menjadi ahli lembaga pengarah di syarikat berkenaan.

“Malah saya juga telah membuat surat menarik balik cadangan pelantikan anak saya kepada menteri supaya surat sokongan itu dibatalkan selain turut memaklumkan kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) agar tidak melantik anak saya sebagai ahli lembaga pengarah di bawah mana-mana pengurusan LTAT,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ismail Sabri yang menjelaskan perkara berkenaan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanah Merah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 1 di sini, hari ini.

Salinan surat sokongan yang ditulis oleh Ikmal Hisham yang dikatakan meminta anaknya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga, yang ditujukan kepada Ismail Sabri bertarikh 5 Jun lepas tular sejak semalam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button