Berita UtamaDunia

Masjid dipagar dawai tajam, Ramadan sengsara buat Uyghur

Berpuasa satu kesalahan besar bagi kerajaan komunis China

SETIAP umat Islam mendambakan Ramadan kerana ganjaran luar biasa yang ditawarkan oleh Allah SWT sepanjang bulan berkenaan.

Tidak ketinggalan etnik Uyghur, namun begitu seperti bulan-bulan sebelumnya mereka dinafikan hak untuk mengamalkan agama Islam oleh kerajaan China.

Penulis kolum Middle East Eye, Tasnem Nazeer mendakwa, kerajaan komunis China telah menutup dan memagar kawasan masjid serta surau dengan dawai tajam bagi menghalang penduduk daripada memasukinya.

Dakwanya, berpuasa dan bersolat pada bulan Ramadan merupakan satu kesalahan besar bagi etnik Islam Uyghur yang hidup di wilayah autonomi Xinjiang.

“Uyghur tiada kebebasan beragama, tidak berhak untuk bersolat atau menunjukkan identiti Islam sebenar mereka.

“Mereka tak boleh berpuasa, bersolat atau membawa al-Quran. Dalam hal lain, mereka tidak mengetahui sama ada ahli keluarga dalam tahanan berada dalam keadaan baik atau tak,” kata Tasnem.

Buat julung kali tahun ini umat Islam di seluruh dunia terpaksa berpuasa ketika perintah berkurung dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19.

Walaupun ia dilihat sangat memeritkan, namun semua itu tidak mampu menyaingi kesengsaraan yang dialami oleh etnik Uyghur.

Tasnem mendakwa, mereka kini hidup dalam keadaan berputus asa selepas sudah tiga tahun menunggu negara Islam bangkit membela nasib etnik berkenaan.

Walaupun negara dunia khususnya negara Islam memperjuangkan nasib rakan seagama lain, namun untung nasib mereka masih belum terbela.

Antaranya beberapa buah negara Arab menyokong tindakan China menahan etnik Islam Uyghur sebagai usaha menghalang daripada menularnya faham pengganas ketika topik berkenaan penahanan mereka dibahaskan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tasnem mendakwa, salah satu sebab mengapa negara-negara di Asia Barat menyokong China adalah kerana faktor ekonomi.

Melalui inisiatif Laluan Sutera, China telah menandatangani kontrak bernilai AS$35.6 bilion dengan negara-negara Arab. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close