Berita Utama

Mungkin akan hantar Rohingnya bekerja di ladang: T. Menteri

Daripada keluar pas pekerja lebih baik kita ambil mereka bekerja

KUALA LUMPUR, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Jika benar cadangan untuk memindahkan Pasar Borong Kuala Lumpur (KL) yang sudah lebih 20 tahun di Selayang ke lokasi lain, ia pastinya sedikit sebanyak dapat mengatasi isu kebanjiran perkampungan etnik Rohingnya di ibu kota dapat diatasi.

Hakikatnya, etnik yang tidak mempunyai kewarganegaaran itu bukan sahaja berjaya mendominasi Pasar Borong KL sebaliknya telah mengundang bahaya dalam industri keselamatan makanan sehingga mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.

Bagaimanapun timbul pula persoalan lain, jika mereka tidak lagi dibenarkan bekerja ke mana hala tuju mereka lagi-lagi ketika penempatan negara ketiga belum dikenal pasti oleh Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, ada beberapa cadangan dan pelan jangka masa panjang termasuk memindahkan golongan itu ke kawasan luar bandar seperti ladang.

Ini kerana, kata Edmund, pihaknya mendapati sektor perladangan ketika ini sedang berdepan dengan kekurangan tenaga pekerja yang terlalu drastik dan memerlukan pekerja asing khususnya warga Bangladesh untuk bekerja di ladang mereka.

“Daripada keluar pas pekerjaan baharu, baik kita kaji kembali dengan agensi-agensi kerajaan dan kementerian berkaitan sama ada etnik Rohingya boleh diambil bekerja di ladang menggantikan pekerja asing Bangladesh yang baharu.

“Hal ini secara tidak langsung juga dapat membendung kebanjiran etnik Rohingya di ibu kota,” katanya.

Edmund memberitahu, langkah itu pada masa sama dapat mewujudkan situasi menang-menang bagi etnik Rohingya dengan memberikan penempatan sementara menunggu negara ketiga dan sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kita guna warga Rohingnya untuk bangunkan sektor perladangan negara. Jika mereka tinggal di ladang, perbelanjaan juga tidak banyak, tempat tinggal disediakan tidak perlu bayar sewa, ada bekalan air, elektrik dan sebagainya.

“Anak-anak mereka juga boleh ke sekolah belajar bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Segamat itu, jika etnik Rohingya dapat dihantar keluar dari kawasan Pasar Borong KL maka rakyat tempatan boleh kembali menetap di kawasan tersebut.

“Jika migrasi populasi Rohingya ini keluar dan masuk ke kawasan luar bandar, rakyat tempatan bukan sahaja dapat bekerja dan berniaga malah dapat menyewa unit rumah pangsapuri dengan harga jauh lebih murah dan berpatutan.

“Ketika ini rata-rata Rohingnya duduk dalam kumpulan besar dalam unit-unit rumah kedai, pangsapuri mahupun kondominium, mereka juga mampu membayar sewa mencecah beribu-ribu ringgit.

“Rakyat tempatan sendiri tidak mampu sama sekali kerana orang kita bukan seperti mereka, duduk ramai-ramai. Mungkin empat lima orang atau enam sahaja manakala mereka sehingga 20 orang. Jadinya masalah ini juga dapat di atasi,” ujarnya.

Ketika di tanya berapa lama jangkaan masa akan diambil untuk merealisasikan pelan itu, kata Edmund, seandainya semua pihak boleh duduk semeja dan mencari penyelesaian secepat mungkin, ianya boleh dilakukan dalam tempoh enam setahun hingga setahun dari sekarang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button