Berita Utama

Patut hukuman mati, tak perlu simpan pemabuk bunuh manusia

Penjara lebih lama, tarik lesen memandu, bayar pampasan tinggi

BANGI, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mahu kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak lebih serius dalam menangani isu kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk apabila banyak nyawa ‘tidak bersalah’ terkorban.

Naib Presidennya, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, pemandu mabuk yang menyebabkan kematian orang awam mesti dikenakan tindakan lebih tegas tanpa ada sebarang kompromi.

“Antara hukuman yang wajar kepada mereka antaranya penjara lebih lama, menarik semula lesen memandu, selain waris keluarga mangsa mesti dibela dengan jumlah harga pampasan yang tinggi.

“Kerajaan Taiwan mengenakan hukuman mati kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut. Kenapa kita mahu simpan pemabuk yang membunuh manusia?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian jam 3 pagi tadi, mangsa, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki mabuk berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Selangor.

Kemalangan menyebabkan mangsa berusia 31 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak itu maut serta merta di lokasi kejadian.

Mengulas perkara itu, Prof Zainur berkata, kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu mabuk bukan hanya membabitkan satu kes, malah, telah berkali-kali insiden sama berlaku hampir pada setiap hari dan setiap bulan.

Katanya, setiap tahun dianggarkan sebanyak 200 kes kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pemandu mabuk.

“Arak adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit dan jenayah yang membunuh keturunan manusia.

“Rakyat dan pemimpin negara mesti dibebaskan daripada bahaya arak,” tegasnya.

Sebelum ini, empat beranak cedera termasuk bayi perempuan bersama ibunya parah, apabila mereka dirempuh sebuah kereta.

Kejadian berlaku jam 11.30 malam selepas sebuah kereta jenis BMW terbabas melanggar bahagian belakang sebuah van persiaran.

Dua sahabat juga maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita disyaki dalam keadaan mabuk di Km13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, Butterworth.

Sebelum itu, seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya cedera juga disebabkan pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, Tawau.

Sementara Jun tahun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, di ibu negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button