Berita Utama

Pejabat kerajaan mula beroperasi sepenuhnya esok

Hanya seorang boleh kerja di rumah jika suami isteri penjawat awam

BANGI, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Semua pejabat kerajaan akan mula beroperasi sepenuhnya mulai esok, selaras dengan perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membenarkan sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi tertakluk kepada garis panduan ditetapkan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, Ketua Jabatan boleh mempertimbang dan memberi kelonggaran kepada sebahagian pegawai untuk bekerja menggunakan waktu kerja fleksi dan sebahagian bekerja di rumah, sama ada secara penggiliran atau sepenuh masa supaya penggunaan sumber manusia adalah optimum.

Menerusi surat edaran bertarikh 2 Mei, beliau berkata, pertimbangan dan kelonggaran kepada mana-mana pegawai untuk bekerja dari rumah sama ada secara penggiliran atau sepanjang tempoh yang ditetapkan hendaklah berasaskan bahawa urusan atau tugasan pegawai berkenaan tidak memerlukan keberadaan pegawai di pejabat pada setiap masa atau sepanjang tempoh yang ditetapkan.

“Bagi pegawai yang mempunyai tanggungan anak berusia 12 tahun ke bawah atau anak-anak berstatus orang kurang upaya (OKU) yang bersekolah dan memerlukan penjagaan berterusan, Ketua Jabatan juga boleh mempertimbangkan pegawai berkenaan untuk bekerja dari rumah.

“Bagaimanapun, bagi pasangan suami isteri yang merupakan penjawat awam, hanya seorang sahaja yang boleh menggunakan kemudahan bekerja dari rumah pada satu-satu masa sehingga sekolah atau pusat jagaan dibuka semula,” katanya.

Sehubungan itu, Ketua Jabatan juga hendaklah memastikan pematuhan kepada semua peraturan, garis panduan dan surat edaran yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai langkah pencegahan wabak COVID-19, katanya.

“Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, arahan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close