Berita Utama

PEMBELA tuntut PM perkenal MyKad baharu kekang PATI

Siasat segera JPN kerana tidak telus malah meragukan rakyat Malaysia

BANGI, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) sekali lagi mencadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya memperkenalkan kad pengenalan (MyKad) baharu, bagi mengatasi kes pemalsuan dan penjualan secara haram.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan bahawa isu berkenaan wajib ditangani segera dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah masa sesuai untuk kerajaan Malaysia bertindak mengekang lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia.

Justeru, melalui cadangan itu, beliau meminta supaya permohonan MyKad baharu mesti membabitkan beberapa agensi dan penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pemantau ketelusan kelulusan berkenaan.

Katanya lagi, selain syarat wajib lain, ketika warganegara membuat permohonan seperti mengemukakan sijil surat beranak diri dan pasangan ibu bapa, sijil berhenti sekolah peringkat rendah atau menengah juga diperlukan.

“PEMBELA hairan, laman web yang menyiarkan penjualan Mykad rupanya telah beroperasi sejak tahun 2019 tetapi disedari selepas PEMBELA mewakili rakyat Malaysia membangkitkan isu ini dan baru disedari oleh pihak JPN (yang telah menbuat laporan polis berhubung laman web tersebut).

“Di sini, kita boleh nampak di mana peranan JPN, adalah berfungsi sekadar pendaftaran semata-mata atau termasuk penguatkuasaan mempertahankan kedaulatan negara melalui MyKad,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, Aminuddin berkata, PEMBELA dan rakyat Malaysia masih menunggu jawapan balas dan kenyataan rasmi dari Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung isu ‘kehilangan’ 100,000 pelancong China serta India yang sehingga kini tiada rekod keluar dari Malaysia.

Beliau berkata, jumlah yang dikeluarkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 (Siri 2) bukan sedikit, malah membimbangkan apabila terdapat beberapa kes membabitkan salah laku JPN Pulau Pinang kerana terlibat dengan pemalsuan dan penjualan 1,000 MyKad.

“Isu ini sangat serius dan tidak boleh dikompromi. Selain daripada itu, PEMBELA menuntut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan tiada kes berhubung pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan palsu kepada warga asing yang dilihat semakin berleluasa dan membimbangkan.

“PEMBELA dengan tegas mahu campur tangan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat secara langsung dalam siasatan ini. Agensi JPN sudah lagi tidak telus malah meragukan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button