Berita Utama

Sindiket ‘cuci duit’ dipercayai babit pegawai tinggi PDRM?

Tercalarnya integriti PDRM mendukacitakan seluruh rakyat

BANGI, 20 Safar 1442H, Khamis – Penahanan beberapa anggota polis yang dipercayai terbabit dalam sindiket ‘cuci duit’ dikaitkan dengan perniagaan golongan artis mendedahkan sisi buruk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak pernah sunyi dari kontroversi rasuah dan salah laku.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad mendakwa, pihaknya yakin terdapat pegawai berpangkat lebih tinggi terbabit dalam kes sama.

Sehubungan itu, beliau berharap, siasatan dilakukan secara telus dan holistik supaya pihak yang benar-benar bersalah berjaya dihukum hingga ke akar umbi.

“Tercalarnya integriti PDRM dalam kes kali ini dan kes-kes lain sebelum ini amat mendukacitakan seluruh rakyat Malaysia. Persoalannya, sampai bila?

“Sesuatu yang drastik mesti dilakukan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada PDRM sebagai pelindung dan penguat kuasa undang-undang yang dipercayai di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang tunai RM100,000 di rumah salah seorang pegawai polis yang ditahan dua hari lepas, dipercayai terbabit dalam sindiket `cuci duit’ dikaitkan dengan perniagaan golongan artis.

Sumber berkata, selain pegawai berkenaan, pihaknya turut menahan tiga lagi pegawai dan empat anggota dalam beberapa siri penahanan semalam dan hari ini.

“Seramai empat pegawai kanan ditahan manakala empat lagi adalah anggota lain-lain pangkat.

“SPRM menemui wang tunai RM100,000 di rumah salah seorang pegawai yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, seorang anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ditahan semalam, dipercayai kenalan kepada lelaki bergelar ‘Datuk’ yang ditahan sebelum ini.

“Dia ditahan tengah hari tadi di IPK Selangor selepas keterangan diambil Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Anggota berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung siasatan kes berkenaan dan pembabitannya di dalam kumpulan sindiket itu,” katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan wujud kegiatan menggunakan populariti artis untuk menjalankan aktiviti ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usahasama dan perniagaan sah.

Itu antara kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan.

Kaedah itu dianggap mampu mengaburi mata pihak berkuasa selain membolehkan keuntungan diperoleh hasil kerjasama pelbagai bentuk pelaburan yang disertai bersama.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM hasil risikan dan siasatan dijalankan sebelum lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk dan Datuk Seri ditahan.

Susulan itu tiga lagi lelaki ditahan kemudian bagi membantu siasatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button