Berita UtamaPendapat

Pemikiran terbelenggu dengan ziarah kubur pada hari raya

Erti kata ziarah kubur sebenar dengan menjadi anak soleh

SEDIH membaca berita viral, artis (orang lain pun mungkin sama) tidak dapat balik kampung raya kali ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak dapat menziarahi kubur dan ibu bapa.

Sedangkan dalam Islam yang penting bukan kubur itu, tetapi apa yang ditinggalkan oleh kubur ketika hidup, seperti amal soleh, anak-anak, harta, dan lain-lain.

Mengapa orang kita suka berfikir perkara kecil seperti tidak dapat menziarahi kubur ibu bapa ketika hari raya?

Perkara ini diperbesarkan oleh media sosial. Seolah-olah perlu menziarahi kubur pada hari raya sahaja.

Sedangkan kubur boleh diziarahi bila-bila masa kepada yang ingin mengambil pengajaran.

Menziarahi kubur ini bukan suatu perkara yang wajib. Kubur itu tidak lari pun.

Bila-bila masa boleh diziarahi. Bagaimana pula dengan orang yang mati tiada kuburnya di negara kita.?

Sebagai contoh, meninggal di Mekah, di luar negara dan mayat tidak dapat dibawa pulang. Begitu juga mayat hilang entah ke mana, hilang di laut, hilang di hutan dan lain-lain.

Kami, mualaf ni, arwah ibu bapa bukan Islam, macam mana pula? Saya ada juga pergi ziarah, tidak salah.

Apakah kerana tidak ada kubur, tidak dapat menziarahi kubur, maka sepanjang hari kita meratap, menangis? Adakah hukumnya berdosa jika kita tidak menziarahi kubur?

Ada kubur depan mata pun, tidak ada gunanya, jika perangai kita sebagai anak macam mangkuk hayun.

Kita membebani ibu bapa kita di alam kubur. Apakah kita lupa hadis, apabila matinya anak Adam, maka terputus amalannya, kecuali tiga perkara, sedekah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa daripada anak soleh.

Sedarlah wahai saudaraku. Menziarah kubur ketika raya bukan isu besar. Banyak perkara lain yang perlu difikirkan.

Sekurang-kurangnya fikirkan pasal pengisian raya ketika PKP ni.

Barulah minda jadi besar sebab fikir isu besar. Minda jadi kecil, bila fikir perkara kecil.

Jika normalitinya, kita menziarahi kubur pada hari raya, fikirkan bagaimana nak isi gantian ziarah kubur itu. Bukankah ia lebih bermanfaat?

Misalnya, berdoa pada setiap hari untuk ibu bapa ketika kemuncaknya Ramadan, diikuti Syawal dan seterusnya.

Sebab tu jangan mewajibkan perkara yang tidak sepatutnya. Lebih malang lagi, yang sunat beria-ia nak buat. Tetapi bila sampai bab wajib, malas pulak.

Ada yang perangai pelik, solat hari raya bersungguh-sungguh nak buat, dengan baju barunya.

Tiba bab solat wajib Jumaat, buat acuh tak acuh jer. Ada yang langsung meninggalkannya.

Tak perlu bersedih pun kalau tak dapat  menziarahi kubur. Sebab hari raya bukan untuk bersedih tetapi untuk bergembira sebagai tanda syukur.

Saya cadangkan, jika ketika Ramadan kita berada di rumah, solat jemaah, bertarawih, bertadarus bersama anak-anak dan lain-lain aktiviti, maka teruskanlah bila tiba hari raya.

Bertakbir, bertahmidlah di rumah, banyakkan solat wajib dan sunat, serta membaca al-Quran.

Dalam kata lain, hidupkan majlis ilmu di rumah. Hidupkan rumah dengan amal soleh berhari raya di rumah.

Jalinkan hubungan erat bersama ahli keluarga. Bukan meratap sedih kerana tidak ada pergi menziarahi kubur.

Bila sudah tamat PKP nanti, usahkan ziarah, tidur dikuburpun tiada siapa larang. Lepaskanlah kononnya rindu kubur itu.

Ingatlah, dalam Islam, bukan kubur itu yang penting, tetapi menjadi atau tidak, anak-anak yang ditinggalkan orang yang berada di kubur.

Jadilah anak soleh untuk hilang kerinduan kepada arwah ibu bapa, itulah erti kata ziarah yang sebenar, bukan setakat menziarahi kubur dengan perbuatan.

Prof Ridhuan Tee

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close