Berita Utama

Perubahan sekatan di Petaling Jaya mula tengah malam ini

Elak kesesakan lalu lintas, atur gerak semula petugas

KUALA LUMPUR, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Beberapa perubahan Sekatan Jalan Raya (SJR) dan pembukaan semula jalan yang ditutup akan dilakukan membabitkan kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, berkuat kuasa mulai tengah malam ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, perubahan itu bertujuan mengelakkan kesesakan lalu lintas selain mengatur gerak semula petugas barisan hadapan di kawasan tumpuan ramai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

“Tindakan awal diambil IPD Petaling Jaya dengan mengubah penugasan petugas-petugas barisan hadapan mengikut kesesuaian masa.

“Perubahan itu dibuat kerana polis melaksanakan penugasan bergerak di kawasan tumpuan ramai seperti pasar raya, pasar, pusat komersil dan riadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, antara lokasi SJR yang ditutup termasuk di Tol NPE PJS 2, Tol Subang, Tol Sungai Buloh, Persiaran Surian dan di Kilometer 34.1 Lebuhraya Persekutuan, manakala satu lokasi baharu SJR diwujudkan di Jalan Klang Lama, Batu 8½.

“Polis ingin memaklumkan bahawa penutupan jalan yang kembali dibuka buat orang ramai adalah di lampu isyarat PJU 8/1, Damansara dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) susur keluar Mutiara Damansara.

“Orang ramai bagaimanapun boleh menggunakan laluan alternatif menerusi Jalan Persiaran Kenanga-Tol Kota Damansara, Jalan Persiaran Surian-Palm Spring Kota Damansara dan Jalan Persiaran Tropicana-Casa Tropicana,” katanya

Menurut beliau, IPD Petaling Jaya mengerakkan sumber manusia sedia ada bagi penugasan PKPB seperti sistem rondaan Aberdeen Kereta Peronda Polis (MPV), Warn and Sweep, Op Cantas dan penugasan lain yang dirasakan perlu untuk pencegahan jenayah.

Nik Ezanee turut menasihati orang ramai supaya terus mematuhi PKPB agar jaringan wabak COVID-19 dapat diputuskan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button