Berita Utama

PKPB: 14 taman eko rimba di Perak terus ditutup

Aktiviti libatkan orang ramai adalah dilarang, tidak dibenarkan

IPOH, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Semua 14 Taman Eko-Rimba milik Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan terus ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan COVID-19.

Antara kawasan itu adalah Taman Eko-Rimba Taman Lata Kekabu, Lenggong; Taman Eko-Rimba Pulau Tali Kail, Gerik; Taman Eko-Rimba Kledang Saiong, Meru, Ipoh; Taman Eko-Rimba Lata Kinjang, Tapah dan Pusat Eko-Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Kuala Sepetang, Taiping.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop, berkata turut ditutup sehingga satu tempoh adalah Bukit Kledang di Menglembu dan Pusat Perkelahan Ulu Chepor, Chemor kerana kawasan tersebut masih berstatus Hutan Simpanan Kekal walaupun pada awalnya dibangunkan oleh orang awam.

Beliau berkata walaupun sebahagian sektor ekonomi dan sosial termasuk pengurusan perhutanan akan mula beroperasi esok selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun aktiviti ekopelancongan hutan tidak dibenarkan.

“Semua jenis aktiviti rekreasi, riadah, perkelahan dan mandi-manda serta senaman yang melibatkan kehadiran orang ramai adalah dilarang dan tidak dibenarkan.

“Larangan ini juga merangkumi aktiviti pendakian, rekreasi sukan basikal lasak dan permotoran di semua laluan pendakian yang terletak di Hutan Simpanan Kekal Negeri Perak serta aktiviti senaman dan joging,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, pihak yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 atau di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan Peraturan 7 serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close