Berita Utama

PKPB: Hanya tutup kawasan kes naik mendadak

'Jika ada kes positif, kita akan tutup lokaliti berkaitan'

PUTRAJAYA, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Kerajaan hanya akan menutup kawasan yang mencatatkan kenaikan mendadak kes COVID-19 selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan mulai esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, penutupan tidak akan dilaksanakan di seluruh negara kecuali di kawasan yang terdapat peningkatan mendadak kes COVID-19.

“Kita kenal pasti berdasarkan lokaliti. Jika ada kes positif, kita akan tutup lokaliti yang berkaitan, bukan di seluruh Malaysia kerana di tempat lain masih lagi (zon) hijau. Jadi jika di satu kawasan berlaku peningkatan mendadak, maka di kawasan itu sahaja yang akan ditutup.

“Itulah langkah kerajaan selepas ini jika ada kenaikan mendadak COVID-19,” katanya dalam sidang media harian di sini, hari ini.

Semalam negara mencatatkan sebanyak 105 kes positif COVID-19, yang merupakan peningkatan kes harian tertinggi sejak 16 hari lepas.

Ditanya mengenai langkah beberapa negeri yang bercadang untuk tidak mengikuti sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan PKPB seperti dikeluarkan kerajaan pusat, Ismail Sabri berkata, itu terpulang kepada kerajaan negeri masing-masing.

Tegasnya, apa yang penting adalah kerajaan negeri mematuhi SOP dikeluarkan kerajaan persekutuan dan disesuaikan dengan SOP negeri masing-masing seperti diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara minggu lepas.

“Kita telah bersetuju bahawa negeri-negeri boleh sesuaikan SOP yang kita keluarkan dengan negeri masing-masing dan daerah. Tetapi mestilah berdasarkan SOP yang dikeluarkan kerajaan persekutuan.

“Sebagai contoh, kedai makan dibuka sehingga 10 malam. Ada bandar-bandar kecil seperti tempat saya di Bera, Pahang, pukul 8 malam pun sudah tiada siapa keluar, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Jadi buka sampai pukul 10 malam pun tiada makna.

“Jadi boleh sesuaikan ikut negeri masing-masing tetapi kalau kita kata buka sampai pukul 10 malam, tiba-tiba dia buka sampai pukul 12 malam, itu tidak sepatutnya berlaku. Ia mestilah dalam ruang lingkup SOP yang kita keluarkan,” katanya.

Dilaporkan Sarawak, Selangor, Pahang dan Kedah antara negeri yang membuat keputusan untuk tidak mengikuti sepenuhnya SOP PKPB yang dikeluarkan kerajaan pusat – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close