Berita Utama

PKPB: Pahang kaji pelaksanaan ikut keadaan semasa negeri

Perbincangan lanjut akan dibuat pada mesyuarat mingguan 8 Mei

BANGI, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Kerajaan negeri Pahang masih perlu mengkaji dan memperhalusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri masih perlu mengkaji PKPB supaya bersesuaian dengan kedudukan semasa penularan pandemik COVID-19 di Pahang.

Meskipun menyokong pengumuman Perdana Menteri, beliau berkata, perkara itu akan dibincang lanjut pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri pada 8 Mei nanti.

“Seperti mana maklum, negeri Pahang kini sedang menghadapi kluster baharu. Oleh itu, tumpuan khusus dan utama perlu dilakukan bagi menanganinya.

“Justeru, kerajaan Pahang sedang memperhalusi langkah-langkah pelaksanaan PKPB supaya apabila mana-mana sektor dibuka tidak akan menyebabkan penularan baharu,” katanya.

Terdahulu, Sarawak dan Sabah memutuskan untuk tidak mengikut kerajaan Pusat melaksana PKPB, sebaliknya terus kekal kuatkuasa PKP sehingga 12 Mei ini.

Muhyiddin pada Jumaat mengumumkan pembukaan semula sektor ekonomi dengan melaksanakan PKPB bermula Isnin depan. Namun, sebarang aktiviti melibatkan perhimpunan besar adalah tidak dibenarkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button