Sabah juga tak laksana PKPB, kekalkan PKP
Ketua Menteri gesa rakyat terus patuhi PKP fasa keempat

BANGI, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Sabah turut mengikut jejak langkah Sarawak untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, negeri itu akan terus mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 4 yang akan berakhir pada 12 Mei ini.
“Pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik COVID-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus COVID-19.
“Saya menyeru rakyat untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 4 yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, kerajaan negeri Sarawak mengambil keputusan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diputuskan kerajaan Pusat.
Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam kenyataan media pada Sabtu.
Muhyiddin pada Jumaat mengumumkan pembukaan semula sektor ekonomi dengan melaksanakan PKPB bermula Isnin depan. Namun, sebarang aktiviti melibatkan perhimpunan besar adalah tidak dibenarkan.