Berita Utama

Segera haramkan arak!

Sebahagian manusia terlalu bebal hati, buta realiti terhadap jenayah arak

BANGI, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Kerajaan perlu bertindak serius mengharamkan arak, kerana menjadi penyebab ramai orang awam terkorban dalam kes kemalangan, ekoran ada individu yang memandu dalam keadaan mabuk.

Ahli Majlis Ulama ISMA, Ustaz Bilal Jailani berkata, kini sampai masanya satu akta atau peruntukan undang-undang diwujudkan dalam usaha menangani masalah yang berpunca daripada minuman keras.

Jelas beliau, terdapat dua undang-undang berbeza berkaitan meminum arak di Malaysia.

“Enakmen Syariah melarang umat Islam meminum arak, tetapi akta yang ada di negara kita benarkan non-muslim minum arak.

“Dualisme perundangan dalam hal ini terbukti tidak berkesan mengekang mudarat dalam masyarakat.

“Namun sebahagian manusia sudah terlalu bebal hati, pekak nasihat dan buta realiti untuk terhadap jenayah arak. Mereka itu lebih teruk dari binatang. Maka tolong segerakan pengharaman total arak di Malaysia,” katanya.

Isu kes kemalangan maut membabitkan pemandu arak kerap berlaku. Terbaharu, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki mabuk berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Selangor.

Kemalangan menyebabkan mangsa berusia 31 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak itu maut serta merta di lokasi kejadian.

Sebelum ini, empat beranak cedera termasuk bayi perempuan bersama ibunya parah, apabila mereka dirempuh sebuah kereta.

Kejadian berlaku jam 11.30 malam selepas sebuah kereta jenis BMW terbabas melanggar bahagian belakang sebuah van persiaran.

Dua sahabat juga maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita disyaki dalam keadaan mabuk di Km13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, Butterworth.

Sebelum itu, seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya cedera juga disebabkan pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, Tawau.

Sementara Jun tahun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, di ibu negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button