Berita Utama

Tenang, jangan ikut nafsu ketika PKPB

Esok sebahagian besar aktiviti ekonomi, sosial dibenarkan kerajaan

KUALA LUMPUR, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Hari ini mungkin boleh diibaratkan sebagai hari yang tenang sebelum ribut melanda.

Bermula esok, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan kerajaan bagi mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara serta kepentingan membendung wabak COVID-19.

Di media sosial, ramai meluahkan kebimbangan langkah itu dikhuatiri akan meningkatkan kes positif COVID-19 apabila rakyat mula keluar termasuk ke tempat kerja, berjoging atau membeli belah untuk persiapan menyambut Aidilfitri.

Kes baharu positif virus itu kembali mencatat tiga angka dengan 105 kes baharu direkodkan setakat 12 tengah hari semalam, menjadikan keseluruhan 6,176 kes, sudah pastinya tidak mengurangkan kebimbangan mereka.

Justeru, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pandemik COVID-19 yang setakat ini meragut 103 nyawa belum berakhir.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan PKPB dalam perutusan khasnya pada Jumaat, sedar terdapat risiko peningkatan kes COVID-19 dan meminta semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Justeru, rakyat perlu tenang dan tidak mengikut nafsu untuk melakukan aktiviti seperti sedia kala serta kekal berada di rumah jika tiada keperluan penting untuk keluar.

Terus amalkan jarak sosial, kerap mencuci tangan, memakai penutup hidung dan mulut serta melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan COVID-19.

Ingat! penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedia ada masih tetap dilaksanakan walaupun PKPB diperkenalkan, Isnin ini.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berkuat kuasa sepanjang tempoh PKPB dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang ingkar. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close