Berita Utama

Isu LSC: Saranan PAC perlu disegerakan sebagai hormati Parlimen

Rakyat Malaysia ingin melihat pihak bertanggungjawab dihukum

BANGI, 12 Muharram 1444H, Rabu – Saranan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai kapal tempur pesisir (LSC) perlu dilaksanakan segera berbanding menubuhkan suruhanjaya atau jawatankuasa siasatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh berkata, setiap saranan oleh PAC perlu disegerakan sebagai menghormati dan mengambil serius institusi Parlimen.

“Tindakan yang perlu dilakukan berdasarkan laporan PAC itu adalah menerusi agensi penguatkuasaan undang-undang khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Rakyat Malaysia ingin melihat pihak yang bertanggungjawab di atas pembaziran dan rasuah wang rakyat dikenakan hukuman dan dengan melaksanakan saranan yang diberikan, pihak kerajaan akan menunjukkan kepada orang ramai bahawa kerajaan memandang serius perkara ini.

“Antara saranan itu, kami tekankan bahawa laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan & Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) harus dinyahklasifikasikan selain menggesa kerajaan untuk memberikan kemas kini mengenai pelaksanaan saranan yang diberikan kepada masyarakat awam serta menggesa PAC untuk menyemak semua laporan JKSTUPKK,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PAC menyarankan tujuh langkah termasuk SPRM mengambil tindakan terhadap dapatan laporan PAC, Laporan Audit Forensik dan laporan JKSTUPKK serta Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) perlu mengemukakan laporan kemajuan kepada PAC setiap tiga bulan sehingga projek itu disiapkan serta laporan JKSTUPKK itu dinyahklasifikasikan.

IDEAS berkata, JKSTUPKK ditubuhkan pada tahun 2018 untuk menyiasat tadbir urus, perolehan dan kewangan dalam semua kementerian dan diterajui oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Tegas beliau, Akta Perolehan Kerajaan (GPA) akan membantu meningkatkan ketelusan dalam perolehan pertahanan selepas Malaysia diletakkan dalam Band D di dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) 2020.

Katanya, ia akan menunjukkan terdapat risiko rasuah yang tinggi dalam perolehan pertahanan.

“Skandal LCS ini seharusnya menjadi teguran kepada kita untuk mengambil lebih serius usaha pembaharuan sistem perolehan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button