Berita Utama

TH buka cawangan secara berperingkat mulai esok

Perkhidmatan terhad untuk urusan akaun, aktiviti kendali haji ditangguh

BANGI, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka semula pejabat cawangannya secara berperingkat bermula esok, dengan waktu operasi dari jam 10 pagi sehingga 3 petang.

TH dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan yang disediakan untuk pendeposit adalah terhad kepada urusan pembukaan akaun, aktiviti simpanan dan pengeluaran, mengemas kini akaun serta pendaftaran haji.

Katanya, bagi semua aktiviti pengendalian haji (menerima tawaran tunai haji dan penyerahan pasport) ditangguhkan buat sementara waktu sehingga TH memperoleh keputusan rasmi berkaitan status Musim Haji 1441/2020 daripada Kerajaan Arab Saudi.

TH berkata, pembukaan operasi adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk merangsang semula ekonomi negara yang terjejas setelah pelaksanaan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

“Bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan sentiasa terjaga, TH akan menjalankan proses saringan suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman untuk pendeposit yang hadir untuk berurusan di pejabat cawangan TH.

“Pendeposit juga dinasihatkan untuk memakai penutup muka dan menjaga penjarakan sosial semasa berurusan,” katanya.

TH berkata, bilangan pendeposit di dalam cawangan juga akan dihadkan bagi memastikan jarak sosial yang efektif.

“Pendeposit juga digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan perbankan elektronik, melalui aplikasi THijari atau melalui perbankan internet yang ditawarkan melalui rakan perbankan strategik TH.

“TH mengucapkan terima kasih kepada semua pendeposit atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button