Berita Utama

Tindakan tegas jika rumah kongsi pekerja tak ikut garis panduan

Banyak rumah kongsi dibina kotor, sebabkan penularan wabak

KUALA LUMPUR, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor tapak pembinaan yang membina rumah kongsi pekerja tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, berdasarkan rekod pembinaan dan pemerhatian, pihaknya mendapati banyak rumah kongsi pekerja dibina di tapak pembinaan tanpa mengikuti garis panduan CIDB dan pihak berkuasa tempatan.

Katanya kegagalan kontraktor binaan mematuhi garis panduan yang ditetapkan boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19 seperti yang berlaku di sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang dengan sebanyak 27 kes baharu dikesan semalam.

“Banyak (kontraktor) tapak pembinaan dilihat membina rumah pekerja dengan cara yang tidak sepatutnya dilakukan serta sangat kotor menyebabkan penularan wabak COVID-19 merebak dengan cepat dalam kalangan pekerja-pekerjanya.

“Saya telah mengarahkan DBKL dan CIDB untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kontraktor-kontraktor yang didapati tidak mengikuti peraturan …kami tiada pilihan melainkan menutup seluruh tapak pembinaan itu, selain mengenakan kompaun terhadap mereka,” katanya ketika siaran langsung di Facebook di sini, hari ini.

Annuar berkata, pemantuhan dan pemeriksaan berterusan akan dilakukan oleh DBKL dan CIDB dari semasa ke semasa bagi memastikan kesemua tapak pembinaan di seluruh ibu kota bebas daripada jangkitan COVID-19.

Katanya sekiranya ada pekerja di tapak pembinaan yang didapati positif COVID-19, maka syarikat kontraktor itu mesti mengosongkan keseluruhan tapak dan rumah kongsi itu dengan pekerjanya perlu dikuarantin di pusat-pusat kuarantin yang digazetkan.

“Syarikat kontraktor juga perlu menanggung sendiri kos-kos kuarantin dan ujian saringan COVID-19 ke atas ratusan atau ribuan pekerja-pekerja mereka, terutamanya warga asing kerana mereka merupakan golongan berisiko menjangkiti wabak itu,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, pihaknya juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pemilik premis dan kediaman yang disewa kepada warga asing dalam jumlah yang terlalu ramai sehingga menyebabkan masalah kebersihan di kawasan itu.

“Misalnya di sesetengah taman perumahan, ada jiran-jiran tempatan takut untuk berada di kawasan itu kerana terlalu ramai warga asing yang mendiami kawasan itu menyebabkan keadaan kotor dan tidak selamat.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan DBKL dan Alam Flora untuk membersihkan kawasan itu dan mengambil tindakan ke atas pemilik premis atau kediaman yang didapati memberi sewa kepada warga asing melebihi jumlah yang dibenarkan dalam satu rumah,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close