Berita Utama

TV pendidikan: KPM, Astro jalinkan kerjasama

Saluran Tutor TV bantu proses PdP murid tiada capaian internet

BANGI, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) bersetuju untuk bekerjasama bagi menyiarkan slot program TV Pendidikan di saluran Tutor TV, Astro.

KPM dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu adalah tambahan kepada siaran slot TV Pendidikan yang kini bersiaran di saluran TV Okey, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula 6 April lalu.

Katanya, inisiatif itu adalah untuk meningkatkan akses murid kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian.

“Pendekatan ini akan dapat membantu murid yang tidak mendapat capaian internet mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca PKP.

“Slot TV Pendidikan di saluran Tutor TV, Astro akan mula bersiaran pada 4 Mei 2020. Program ini akan disiarkan selama dua jam pada setiap Isnin hingga Jumaat,” katanya.

KPM berkata, waktu siaran program berkenaan adalah jam 10 pagi hingga 11 pagi menerusi saluran 601 dan jam 11 pagi hingga 12 tengah hari menerusi saluran 603.

Kementerian berkata, rancangan itu akan diulang siar pada jam 3 petang hingga 4 petang di saluran 601 dan jam 4 petang hingga 5 petang di saluran 603 pada hari yang sama.

“Selain itu, program ini juga dapat ditonton secara percuma pada bila-bila masa menerusi aplikasi Astro GO yang boleh dimuat turun menggunakan peranti dengan sistem pengoperasian Android dan iOS.

“Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan,” katanya.

KPM berkata, kementeriannya yakin slot program TV Pendidikan melalui kerjasama dengan Astro akan memberi manfaat kepada murid, guru dan ibu bapa bagi membolehkan proses PdP dilaksanakan dengan lebih meluas, terutamanya dalam keadaan mencabar sekarang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close