Berita Utama

Warga asing di kawasan Masjid India digempur lagi

Serbuan dapat kerjasama PDRM, ATM, KKM

KUALA LUMPUR, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekali lagi menggempur kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Masjid India, hari ini.

Serbuan mengejut yang bermula 9 pagi tadi menyasarkan Bangunan Selangor Mansion, yang dipercayai menjadi penempatan utama warga asing di kawasan itu.

Serbuan yang mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dijalankan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin.

Pada Jumaat lepas, lebih 300 anggota penguat kuasa menyerbu kawasan Masjid India, yang majoritinya didiami warga asing dari beberapa negara termasuk Pakistan, Bangladesh dan Indonesia.

Tinjauan Bernama di pintu masuk utama ke kawasan PKPD itu mendapati, terdapat beberapa trak polis masuk ke kawasan itu sekitar 10 pagi.

Trak berkenaan dipercayai bagi membawa PATI keluar dari kawasan itu, untuk dihantar ke depoh tahanan sementara.

Operasi mengesan warga asing ini dikatakan mudah dilaksanakan berikutan keseluruhan kawasan yang digempur, dipasang kawat duri ekoran perintah PKPD.

Pada 12.30 tengah hari tadi, lebih 100 anggota dan pegawai JIM kelihatan meninggalkan kawasan itu dengan menaiki sebuah bas.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan di bangunan tersebut yang mahu dikenali sebagai Deen memberitahu, semua penghuni memberi kerjasama penuh terhadap operasi yang dijalankan pihak berkuasa.

“Semua ikut arahan pihak berkuasa termasuk amalkan jarakan sosial dan memakai penutup hidung dan mulut,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button