Berita Utama

COVID-19: 8 bahan kimia diguna dalam operasi sanitasi, disinfeksi

Sebelum guna telah dapatkan nasihat KKM, rujukan jurnal WHO

PUTRAJAYA, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan lapan jenis bahan kimia dalam operasi sanitasi awam dan disinfeksi di tempat-tempat yang dikesan mempunyai penularan tinggi wabak COVID-19.

Lapan jenis bahan kimia berkenaan yang termasuk etanol, natrium hipoklorit dan benzalkonium klorida digunakan dalam proses sanitasi awam di kawasan luar manakala disinfeksi dalam kawasan tertutup.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata sebelum menggunakan lapan bahan kimia itu, pihaknya mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan membuat rujukan terkini jurnal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai jenis bahan kimia yang sesuai digunakan.

“Sebagai contoh, kami gunakan etanol dengan kandungan alkohol 60 peratus ke atas dan natrium hipoklorit 0.5 peratus penggunaannya untuk operasi berkenaan.

“Apabila kami membuat penyelidikan bahan kimia berkenaan, kami mendapati bahawa lapan jenis bahan kimia itu terdapat di Malaysia dan boleh digunakan untuk tempat-tempat tertentu,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohammad Hamdan berkata sebelum membuat proses campuran bahan kimia itu, pihaknya terlebih dahulu mendapat nasihat Jabatan Kimia untuk Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan sanitasi awam dan disinfeksi pada tempat awam mengikut protokol ditetapkan.

“Ini bermakna untuk melakukan penugasan nyah cemar ini bukannya boleh dibuat secara suka-suka dan ia perlu dibuat mengikut protokol kerana ia melibatkan bahan kimia.

“Setakat ini, JBPM telah membuat operasi nyah cemar di 130 zon yang dikenal pasti oleh KKM termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Ditanya sama ada kawasan zon hijau juga terlibat operasi nyah cemar, beliau berkata memang terdapat permintaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri untuk membuat disinfeksi di kawasan zon hijau mereka.

“Ya, memang terdapat permintaan daripada mereka (PBT dan Kerajaan Negeri) untuk mendisinfeksi kerana kawasan zon hijau mereka berkemungkinan pernah dimasuki oleh penduduk yang menetap di kawasan zon merah atau zon kuning.

“Oleh sebab itu, ada juga bangunan tertentu kami buat operasi nyah cemar berulang kali sebagai contoh kawasan Pasar Selayang, di sini, kerana ia merupakan zon merah COVID-19,” katanya.

Selain itu, Mohammad Hamdan berkata setakat 30 April lepas pihaknya telah membuat sebanyak 117 operasi sanitasi awam meliputi 41 zon iaitu 10 zon merah dan 31 zon kuning melibatkan pelbagai negeri tertentu.

“Antaranya ia melibatkan premis perniagaan, stesen pengangkutan awam, tempat ibadat, pasar awam, kawasan perumahan,” katanya dan menambah kata selain itu pihaknya telah melakukan 544 operasi sanitasi awam dan disinfeksi di fasiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis.

Selain fasiliti PDRM, sebanyak 316 balai bomba seluruh negara serta fasiliti Jabatan Penjara dan depoh tahanan Jabatan Imigresen di seluruh negara juga dinyah kuman sebagai langkah pencegahan wabak itu.

“Boleh dikatakan setiap operasi sanitasi awam dan disinfeksi yang dibuat JBPM memang banyak sangat kerja kerana ia memerlukan tahap ketelitian dan fokus tinggi,” katanya.

“Pemakaian pakaian perlindungan diri (PPE) ketika operasi disinfeksi juga berbeza dengan pakaian PPE sanitasi awam. Disinfeksi, tahap pakaian PPE perlu tinggi, kandungan bahan kimia digunakan juga lebih tinggi malah peralatan PPE juga lebih lengkap dan berbeza dengan pakaian PPE sanitasi awam yang nipis serta penggunaan bahan kimia dengan kekuatan sederhana,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button