Berita Utama

Jurang kekayaan makin melebar, kerajaan mesti fokus lebih pada golongan rentan, B40

Prestasi ekonomi hebat tidak semestinya rakyat dapat nikmati segala manfaat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 8 Zulkaedah 1443H, Rabu – Walaupun ekonomi Malaysia dilaporkan berkembang kukuh kepada 5.0 peratus pada suku pertama tahun ini, bahkan pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM24.4 bilion berbanding 18.4 bilion pada suku keempat tahun lalu, namun persoalannya sejauh mana ia memberi kesan kepada rakyat. 

Penganalisis ekonomi, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff melihat cabaran untuk kerajaan ketika ini adalah bagaimana segala data ekonomi yang bersifat makro mampu diterjemahkan untuk membantu kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. 

“Kebanyakan rakyat tidak faham indikator-indikator makro ini, tetapi apa yang mereka faham dan alami ialah harga barang semakin meningkat, gaji tidak naik dan rumah makin sukar dimiliki. 

“Pendek kata, prestasi ekonomi yang hebat tidak semestinya akan memastikan rakyat menikmati segala manfaatnya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Berikutan itu, Pensyarah Kanan Putra Business School itu menegaskan, kerajaan harus memastikan segala hasil dan pertumbuhan ekonomi yang berlaku sekarang, dapat dinikmati oleh rakyat. 

“Apa yang mungkin terjadi sekarang ialah jurang kekayaan dan pendapatan antara kumpulan (bangsa, bandar dan luar bandar) semakin melebar. 

“Oleh itu apa yang kerajaan perlu lakukan ialah memfokuskan kepada golongan rentan dan B40 melalui pelbagai intervensi dan inisiatif. 

“Sebagai contoh, mungkin subsidi sedia ada harus difokuskan kepada golongan ini, menjadikan ianya subsidi bersasar supaya hasrat subsidi itu tercapai dan bukan seperti sekarang yang mana golongan T20 turut menikmati subsidi tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, apabila ekonomi semakin mengembang dan peluang pekerjaan makin banyak, kerajaan harus pastikan golongan B40 mendapat peluang untuk diambil bekerja dengan gaji yang berpatutan. 

“Peluang menjadi usahawan juga harus diberi kepada mereka supaya mereka mampu berdikari,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button