Berita Utama

COVID-19 ubah cara kita bekerja, tapi produktiviti tetap diutamakan

Pekerja perlu mahirkan diri dengan pendekatan dalam talian, digital

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Pertumbuhan modal insan mampu dicapai dengan peningkatan pengetahuan dan kepakaran pekerja melalui proses pendidikan secara formal atau tidak formal.

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Prof Datuk Dr Ismail Sualman berkata, dalam hal ini, pekerja perlu lebih memahirkan diri dengan pendekatan dalam talian dan pendigitalan sebagai budaya kerja.

Katanya, wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta normal baharu telah merubah paradigma dan cara berkerja, berkarya, berniaga dan berurusan.

“Pada asasnya walau apa keadaan kita mestilah mengutamakan produktiviti dan keberhasilan. Wabak COVID-19 bukan alasan untuk kita berdiam diri dan melupakan tugas dan peranan hakiki bagi menghasilkan produktiviti.

“Cuma pendekatannya perlu diolah dan disesuaikan dengan normal baharu yang akan menjadi amalan masa kini dan mendatang,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan ketiga diperkenalkan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini diharap dapat merancakkan kembali sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial yang telah dilesukan sepanjang tempoh PKP.

“Pekerja mula diberikan ruang untuk bertugas mengikut normal baharu. Bekerja secara bergilir di rumah dan di pejabat atau tempat bertugas.

“Masih lagi mengamalkan jarak sosial dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Ismail Sualman bagaimanapun menegaskan, dalam hal ini persoalan kesihatan dan keselamatan pekerja jangan sesekali dikesampingkan.

“Justeru, pihak Institut Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) diharap dapat membantu para majikan dalam mengadaptasikan SOP tersebut secara optimum, agar pekerja dan majikan tidak terbeban dengan normal baharu.

“Kita berdoa agar pendekatan ketiga ini berjaya mencapai matlamatnya. Kita juga mengimpikan supaya pengorbanan dan kesabaran rakyat yang ‘setia’ duduk di rumah yang telah dapat memutuskan rantaian wabak COVID-19.

“Kita juga mengharap agar pekerja mengutamakan produktiviti dan terus menyuntik pembangunan negara tercinta,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close