Berita Utama

HRW patut selesaikan isu Rohingya, bukan kritik Malaysia

Negara maju terutama yang tandatangan Konvensyen Pelarian 1951 digesa tawar penempatan semula kepada pelarian syor Najib

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) perlu segera menetapkan Cox’s Bazar sebagai pusat saringan utama bagi penempatan semula pelarian ke negara ketiga, serta menambah peruntukan dan menambah baik keadaan kem berkenaan.

Itu antara penyelesaian yang sepatutnya menjadi fokus Human Right Watch (HRW) dalam membantu menangani isu pelarian etnik Rohingya, berbanding mengkritik Malaysia dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu menyelar tindakan NGO kemanusiaan berkenaan, yang berterusan mengkritik dan mendesak negara supaya menerima lebih ramai pelarian.

“Kritik tanpa saranan yang bernas pun tak berguna sebenarnya. Ada tiga cara untuk menyelesaikan masalah bot pelarian etnik Rohingya dari Cox’s Bazar ke Malaysia.

“Cuba tanya diri sendiri, berapakah jumlah pelarian Rohingya yang telah diambil oleh negara asal NGO itu (HRW) berbanding jumlah yang sudah dibantu di Malaysia?,” katanya dalam tulisan di Facebook, hari ini.

Najib berkata, negara maju terutama yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 digesa menawarkan penempatan semula dengan bilangan besar secara serta-merta untuk pelarian yang kini berada di sempadan Bangladesh.

“PBB juga tidak lagi menunggu dan meterai persetujuan dengan Myanmar untuk benarkan pemerhati-pemerhati PBB bagi menjamin keselamatan pelarian yang memilih untuk pulang ke Myanmar.

“Pasukan pemerhati ini perlu berada beberapa tahun bagi memastikan keselamatan kepulangan dan penempatan semula. Mereka juga perlu tegas terhadap etnik Rohingya yang berdegil,” katanya.

Pada masa sama, beliau mahu negara Myanmar mengiktiraf kewarganegaraan etnik Rohingya supaya krisis pelarian dapat diselesaikan.

“Jika mana-mana tiga penyelesaian di atas dapat dicapai, pelarian Rohingya di Cox Bazar tidak akan menggadai nyawa lagi serta menggunakan sindiket untuk memulakan perjalanan laut yang amat berbahaya ke Malaysia di mana mereka tidak akan ada harapan untuk diberi kewarganegaraan.

“Jangan hanya tahu desak kita. Kamu desaklah negara kamu juga. Jangan gunakan isu pelarian Rohingya untuk melancarkan serangan berbaur politik ke atas kerajaan PN,” kata Najib.

Krisis kemanusiaan di wilayah Rakhine, Myanmar tegang sehingga menyebabkan ramai etnik Rohingya melarikan diri ke negara lain.

Sehingga kini, jumlah sebenar pelarian Rohingya tidak dapat dipastikan tetapi banyak pihak mendakwa sudah melebihi sejuta orang.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close