Berita Utama

Jenazah Koperal Safwan selamat dikebumikan

Suasana diselubungi pilu dengan alunan bacaan Yassin

IPOH, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Jenazah anggota polis yang maut dirempuh kenderaan pacuan empat roda ketika melakukan sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Selangor selamat dikebumikan di Tanjung Rambutan, hari ini.

Jenazah Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata pada 6 pagi sejurus selesai azan Subuh.

Harian Metro melaporkan, terdahulu, jenazah tiba pada 5.20 pagi dengan van jenazah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) diringi 25 kenderaan dari Hospital Serdang.

Suasana di tanah perkuburan diselubungi pilu dengan alunan bacaan Yassin oleh ahli keluarga yang tiba pada 4 pagi.

Lebih 300 penduduk kampung, anggota polis dan rakan-rakan hadir mengiringi jenazah.

Komander 69 Komando PGK, Senior Asisten Komisioner Abd Razak Yusof dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmad turut hadir memberi penghormatan terakhir.

Ibunya, Norriza Mat Sani, 53, yang mengiringi arwah dari Serdang kelihatan sayu ketika menyertai majlis tahlil untuk arwah.

Dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), 2 pagi semalam, Safwan, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button