Pendapat

Kenapa pandemik COVID-19 perlu dipandang serius oleh semua pihak?

Masih belum ada vaksin dihasilkan untuk kawal penularan wabak

COVID-19 mempunyai kadar jangkitan dan kadar kematian yang menghampiri Spanish Flu berbanding dengan Swine Flu. Ini bermaksud ia mempunyai potensi untuk memberi impak yang lebih besar seperti atau menghampiri Spanish Flu.

2. Walaupun kadar jangkitan dan kadar kematian COVID-19 kurang daripada SARS dan MERS tetapi kajian menunjukkan COVID-19 mempunyai kadar keberjangkitan yang tinggi ketika waktu inkubasi (dua hari sebelum bergejala). Ini menyebabkan cara pengasingan orang yang bergejala semata-mata kurang berkesan untuk mengawal penularan penyakit.

3. Berbeza dengan SARS yang mempunyai puncak kadar keberjangkitan tujuh hingga sepuluh hari selepas bergejala. Ia lebih mudah dikawal melalui kesan, ujian dan pengasingan/kuarantin.

4. MERS mempunyai kadar jangkitan yang rendah walaupun mempunyai kadar kematian yang tinggi, disebabkan pesakit biasanya mempunyai gejala yang teruk dan akan tetap di rumah (dalam erti kata lain tidak keluar berjumpa dengan orang lain).

5. Kita masih tidak ada rawatan khusus yang betul-betul ditemui selamat untuk merawat pesakit COVID-19.

6. Kita juga masih belum ada vaksin yang berjaya dihasilkan untuk mengawal penularan COVID-19.

Sehinggalah kita bertemu dengan rawatan khusus serta vaksin bagi COVID-19 (sekira diizinkan Allah) atau Allah menghendaki untuk mengangkat pandemik ini dari kehidupan manusia secara alami, maka bersedialah kita untuk hidup dalam normal baharu yang penuh keterbatasan serta disiplin yang tinggi.

Bagi orang Islam, kita mengimani bahawa apa yang berlaku sekarang merupakan sebahagian daripada kekuasan Allah. Dia menguji hambaNya dengan pelbagai peristiwa.

“Yang menciptakan mati dan hidup, menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun”. (Al-Mulk:2)

Apapun keadaan kita diuji dalam suasana sekarang, sama ada dijangkiti COVID-19, terpaksa berjauhan daripada isteri dan keluarga, penat berkerja dengan bebanan yang tinggi, hilang pendapatan harian, masalah rumah tangga, bosan berasa di rumah, tidak dapat lepak di kedai mamak bersama kawan dan senarai berterusan, percayalah bahawa ia adalah sebahagian daripada pentarbiyahan Allah buat kita semua, malah ia adalah sebahagian daripada rahmatNya kepada orang mukmin.

“Maksudnya: Daripada Saidatina Aisyah RA, beliau berkata: Aku bertanya Rasulullah tentang wabak Ta’un. Lalu Rasulullah memberitahuku bahawa ia adalah azab yang diutuskan oleh Allah kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah menjadikannya sebagai Rahmat buat orang-orang yang beriman. Tidak ada seorang pun yang ditimpa wabak Ta’un ini sedangkan dia duduk di dalam negeri tempatnya dengan penuh kesabaran dan bermuhasabah, dan dia faham bahawa tiada sesuatu yang menimpanya melainkan semuanya telah ditentukan oleh Allah, melainkan dia akan mendapat pahala seperti pahala syahid.” (Sahih al-Bukhari)

Jadi, jom kita kekal berada di rumah, keluar rumah sekiranya ada keperluan, patuh kepada SOP yang telah ditetapkan, kerap cuci tangan, amalkan etika batuk yang betul, memakai topeng muka di kawasan ramai, elakkan berkumpul dan bersalaman, serta amalkan gaya hidup sihat dan bersih.

Dr Ahmad Muslim
Pengamal Perubatan Keluarga
Pengerusi I-Medik KL

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button