Berita Utama

Kerajaan tolong haramkan arak!

Jika tak boleh haram, naikkan cukai dengan harga paling tinggi

BANGI, 10 Ramadan 1441H, Ahad – Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah meminta kerajaan Perikatan Nasional membuat keputusan tegas dengan mengharamkan arak, kerana terbukti menjadi punca ramai mangsa terkorban disebabkan pemandu mabuk.

Meskipun Malaysia negara Islam, beliau melihat undang-undang berkaitan arak begitu longgar – yang mana tiada had atau tempoh untuk minum – tidak seperti sesetengah negara lain.

Mengambil contoh Singapura, katanya, tiada penjualan atau minum arak selepas jam 10.30 malam dan tindakan keras akan dikenakan jika rakyatnya berbuat demikian.

“Kita kata negara Islam, sudahlah undang-undang begitu longgar, tidak ada had minum arak, boleh minum arak 24 jam. Bila kita kritik sikit pasal arak, maka ultra kiasu kata kita Taliban. Kita sekat hak asasi manusia.

“Jadi saya minta kerajaan haramkan sahaja arak ni. Jika tak dapat haramkan, naikkan cukai, naikkan harga setinggi-tingginya, tidak ada erti bebas cukai. Hukum seberat-beratnya mereka yang mabuk sehingga nyawa orang lain menjadi gadaian. Jangan undang bala Allah.

“Rugi sikit tak dapat cukai arak tak apa. Mudarat lebih besar daripada kebaikan. Tak mengapa rugi sedikit di dunia, untung akhirat. Berbanding dengan Allah hantar COVID-19, kita rugi dalam sejarah RM2.4 bilion sehari. Pecah rekod dunia untuk Malaysia. Allah boleh jadikan itu semua sebab Allah Maha Berkuasa. Sedarlah,” katanya.

Kes kemalangan maut membabitkan pemandu arak kerap berlaku. Terbaharu, Koperal Safwan Muhammad Ismail yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki mabuk berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Selangor.

Kemalangan menyebabkan mangsa berusia 31 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak itu maut serta merta di lokasi kejadian.

Sebelum ini, empat beranak cedera termasuk bayi perempuan bersama ibunya parah, apabila mereka dirempuh sebuah kereta.

Dua sahabat juga maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita disyaki dalam keadaan mabuk di Km13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, Butterworth.

Sebelum itu, seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya cedera juga disebabkan pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, Tawau.

Sementara Jun tahun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, di ibu negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close