Berita Utama

Empat peruntukan baharu bela individu bankrap

Perlu kaji cadangan terperinci terutama berkaitan implikasi

BANGI, 28 Muharam 1444, Jumaat – Jabatan Insolvensi Malaysia mengemukakan empat cadangan peruntukan baharu dalam penambahbaikan undang-undang insolvensi negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kesemua peruntukan tersebut dilihat berkemampuan bagi melancarkan proses pentadbiran estet kebankrapan.

“Antara cadangan pindaan yang kita terima adalah peruntukan Seksyen 33C Akta 360 berkenaan pelepasan automatik bagi membantu lebih ramai bankrap dapat keluar daripada kebankrapan selepas tempoh tiga tahun.

“Manakala, cadangan kedua menetapkan had masa pemfailan Borang Bukti Hutang oleh pemiutang untuk mempercepatkan proses pelepasan kebankrapan atau pembatalan perintah kebankrapan

”Selain itu turut dicadangkan ialah memansuhkan mesyuarat pertama pemiutang serta menambah penggunaan baharu berkenaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kebankrapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Junaidi menambah, fokus utama Jabatan Insolvensi Malaysia adalah untuk mempercepatkan proses pentadbiran kebankrapan dan membantu bankrap untuk keluar daripada kebankrapan dengan segera.

“Bagaimanapun, pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Udang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu mengkaji cadangan pindaan ini dengan lebih terperinci terutamanya berkaitan implikasinya kepada orang ramai,” katanya.

Malah, beberapa libat urus turut dicadangkan dengan pemegang taruh khususnya Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Turut dicadangkan terlibat adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Belia dan Sukan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta kementerian yang bertanggungjawab untuk mengawal selia syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana Malaysia serta usahawan dalam kategori mikro.

Wan Junaidi menambah, statistik kes bankrap yang didaftarkan menunjukkan pola penurunan, apabila dicatatkan sebanyak 12,051 kes bagi tahun 2019, diikuti 8,351 kes (2020), 6,554 kes (2021) dan 3,604 kes (2022) setakat Julai lalu.

Malah, dari sudut peratusan pula, pengurangan berbanding tahun sebelumnya direkodkan sebanyak 26.88 peratus pada 2019, 30.70 peratus (2020) dan 21.52 peratus (2021).

Tegas beliau, penurunan kes berkenaan disebabkan beberapa faktor lain termasuk inisiatif kerajaan melalui pemberian moratorium dan bantuan bersasar bank.

Beliau dalam masa sama memberi jaminan meneliti jumlah serta punca kes bankrap yang difailkan oleh pihak pemiutang serta menambah baik Akta 360 bagi menjadikan pentadbiran kes kebankrapan lebih efisien.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button