Berita Utama

Kontraktor kena pastikan pekerja warga asing bebas COVID-19

Pekerja perlu diperiksa suhu sebelum masuk ke tapak pembinaan

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kontraktor yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan Infrastruktur merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, semua kontraktor yang memulakan operasi dalam tempoh PKPB diwajibkan mematuhi SOP bagi menjamin keselamatan pekerja dan mengelak penularan jangkitan COVID-19 di tapak pembinaan serta kawasan sekitarnya.

Tindakan itu termasuklah memastikan semua pekerja warga asing dihantar untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan bebas daripada jangkitan sebelum mula bekerja.

“Semua pekerja terbabit perlu diperiksa dan direkodkan suhu mereka sebelum masuk ke tapak pembinaan setiap hari, dan apa juga gejala yang dikesan menerusi saringan harian yang dibuat perlu dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan berdekatan untuk tindakan lanjut.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal pematuhan SOP dengan tindakan tegas termasuk menutup tapak pembinaan serta menarik semula kebenaran beroperasi akan dikenakan terhadap kontraktor yang gagal mematuhi SOP sehingga membawa kepada penularan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah berkata, tindakan tegas telah pun diambil terhadap sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang dalam kejadian 30 April lalu.

“Dalam kejadian itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah menerima maklumat daripada Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur bahawa terdapat 28 pekerja tapak pembinaan warga Bangladesh didapati positif COVID-19 di tapak berkenaan.

“Kawasan berkenaan telah ditutup serta-merta dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut ditempatkan di pintu masuk tapak pembinaan terbabit bagi mengawal pergerakan seperti diperuntukkan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button