Berita Utama

Pakai pelitup separuh muka amat digalakkan di kawasan sesak

Pastikan penjarakan sosial yang selamat sekurang-kurang 1 meter

PUTRAJAYA, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Pemakaian pelitup separuh muka sangat digalakkan dalam kalangan rakyat terutama bagi mereka yang berada di kawasan awam dan sesak bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan mereka memakai pelitup separuh muka tetapi sekarang ini bukan satu kewajipan,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham juga mengingatkan syarat lain juga perlu dipatuhi iaitu jarakan sosial yang selamat sekurang-kurangnya satu meter serta amalan kebersihan diri yang tinggi dengan kerap mencuci tangan.

“Kalau boleh amalkan jarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter jadi kita boleh elakkan penularan COVID-19. KKM harap semua rakyat Malaysia akan patuh kepada SOP (Prosedur Operasi Standard),” katanya.

Ditanya mengenai pematuhan orag awam terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Dr Noor Hisham berkata ia adalah terlalu awal untuk dinilai.

“Bagaimanapun, melihat kepada amalan di negara lain seperti Taiwan dan Korea Selatan, mereka tidak ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tetapi mereka mempunyai disiplin sosial dan mematuhi SOP. Sekarang SOP adalah jelas dan KKM menggesa semua rakyat Malaysia untuk mengamalkan jarakan sosial, memakai pelitup separuh muka, kerap membasuh tangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata SOP untuk industri dan restoran juga jelas dan pematuhannya adalah sangat penting untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Jika mereka boleh mematuhinya, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan, jika tidak terdapat risiko untuk kadar jangkitan meningkat lebih tinggi daripada 0.7 sekarang dan ini akan dipantau rapi,” katanya.

Mengenai justifikasi KKM terhadap PKPB yang telah diwartakan, Dr Noor Hisham berkata strategi KKM dalam PKP fasa 1, 2 dan 3 ialah untuk meratakan lengkung dengan menggalakkan setiap orang duduk di rumah.

“Melihat kepada situasi PKPB ialah untuk membenarkan sektor perniagaan beroperasi semula. Apa yang penting ialah mematuhi SOP. PKP fasa 1, 2 dan 3 dan bahagian awal fasa 4 ialah untuk memastikan orang ramai duduk di rumah, itulah mesejnya. Sekarang mesejnya kepada orang awam mengenai PKPB ialah mematuhi SOP,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata amat penting untuk orang awam mempunyai disiplin sosial dan pematuhan sosial, selain memastikan industri dan restoran mematuhi SOP atau berhadapan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close