Berita Utama

PAS tekad percepat gubal akta bersabit pemandu mabuk

Rakyat Malaysia diajak wujud gelombang solidariti tuntut kerajaan bertindak

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – PAS akan memastikan penggubalan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bersabit pemandu mabuk dipercepatkan, tegas Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad.

Beliau berkata demikian susulan berkali-kali berlakunya episod pemandu mabuk merempuh orang awam hingga menyebabkan korban jiwa.

Terbaru, kes di mana seorang anggota polis maut setelah dirempuh sebuah Toyota Hilux dalam sekatan jalan raya Op COVID-19 berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS), semalam.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kemalangan itu berlaku.

Susulan itu, Kamaruzaman menegaskan, PAS akan terus memberikan komitmen untuk memastikan undang-undang berkenaan arak dan pemanduan di bawah pengaruh alkohol diperketatkan serta dikenakan tindakan tegas.

Pada masa sama, katanya, PAS juga akan berusaha menguatkuasakan akta kawalan terhadap minuman arak terutama di premis terbuka.

“Jika dilihat di negara lain seperti Thailand, Vietnam dan Russia, kesalahan pemandu mabuk bakal digantung lesen pada tempoh masa tertentu, perlu membayar ganti rugi wang tunai kepada keluarga mangsa dan perlu menjalani program khidmat masyarakat. 

“Manakala di negara Islam seperti UAE dan Arab Saudi, pesalah bukan sahaja dipenjara, malah didenda dan disebat di khalayak ramai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Kamaruzaman berkata, PAS juga menyeru rakyat Malaysia mewujudkan gelombang solidariti bagi menuntut pihak kerajaan bertindak segera kerana sudah terlalu banyak kemalangan maut berlaku akibat pemandu mabuk ini.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close