Berita Utama

Pemandu mabuk rempuh anggota polis direman

Siasatan kes akan dijalankan serentak oleh pihak trafik dan Jabatan Siasatan Jenayah

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Pemandu Toyota Hilux yang menyebabkan seorang anggota polis maut setelah dirempuh dalam sekatan jalan raya Op COVID-19 berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS), direman selama empat hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek berusia 44 tahun itu direman sejak semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, buat masa ini, siasatan akan dilakukan bahagian trafik terlebih dahulu mengikut seksyen berkenaan.

“Pada masa sama, kami juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian dalam kes terbabit,” katanya seperti dilapor BHOnline, hari ini.

Pada masa sama, Fadzil berkata, suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Siasatan bagi kes ini akan dijalankan serentak oleh pihak trafik dan Jabatan Siasatan Jenayah.

“Setakat ini, reman empat hari berkenaan membabitkan bahagian trafik dan kami akan memohon untuk menyambung reman sebaik tempoh berkenaan tamat sekiranya perlu,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.11 pagi, semalam, Allahyarham Safwan, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya LEKAS, Kajang.

Susulan rempuhan itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya Op COVID-19 berhampiran plaza berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close