Berita UtamaDunia

Pemandu mabuk: Sampai masanya kerajaan kenakan hukuman berat

ISMA ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Korporal Safwan Muhammad Ismail yang maut dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas mengawal sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, kelmarin.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan tragedi itu sebagai amat menyayat hati kerana Allahyarham yang merupakan seorang petugas barisan hadapan, maut ketika melaksanakan tugasnya sebagai penjawat awam yang bekerja keras berkhidmat untuk negara.

“Beliau terkorban ketika melaksanakan tanggungjawab dan tugas mulianya itu pada bulan yang penuh kemuliaan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.11 pagi semalam, Allahyarham Safwan, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya LEKAS, Kajang.

Susulan rempuhan itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya Op COVID-19 berhampiran plaza berkenaan.

Sehubungan itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) menegaskan, sampai masa pihak kerajaan mengenakan hukuman berat kepada pemabuk kerana sudah banyak rakyat terbunuh akibat minuman haram itu.

“Arak bukan saja merosakkan diri peminum tetapi membahayakan orang sekeliling yang telah mengakibatkan banyak nyawa hilang. 

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Yang Maha Esa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Insya-Allah. Amin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button