Berita Utama

PH mahu sidang Parlimen lebih sehari, paling kurang dua minggu

Dakwa persidangan panjang bolehkan bahas isu lebih mendalam

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Parti pembangkang, Pakatan Harapan (PH) sekali lagi mengulangi gesaan supaya persidangan Parlimen yang dijadualkan 18 Mei ini, diadakan lebih daripada sehari atau sekurang-kurangnya dua minggu.

Tuntutan itu dibuat dalam satu kenyataan bersama pemimpin tertinggi komponen PH membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Datuk Seri Shafie Apdal (Parti Warisan Sabah), Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara) dan Lim Guan Eng (DAP).

Menerusi kenyataan itu, PH berkata, tuntutan itu dibuat memandangkan keputusan kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melaksana PKP Bersyarat (PKPB) mulai hari ini.

“Keputusan ini bermakna pada perkiraan kerajaan wabak COVID-19 semakin terkawal dan beberapa aktiviti boleh dijalankan dengan syarat menepati prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Memandangkan Parlimen telah memutuskan SOP bagi membolehkan persidangan pada 18 Mei diadakan, dan memandangkan banyak aktiviti sudah mula dibenarkan bersyarat, maka sebenarnya tiada alasan atau halangan bagi Parlimen untuk bersidang penuh lebih dari sehari yang telah diumumkan,” katanya.

PH berkata, persidangan yang lebih panjang akan membolehkan perbahasan isu lebih mendalam, serta ahli-ahli Jemaah Menteri melaksana agenda legislatif kementerian masing-masing.

“Oleh yang demikian, kami menggesa kerajaan untuk segera melaksana sidang Parlimen penuh dengan menambah jumlah hari persidangan ke sekurang-kurangnya dua minggu,” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan persidangan Parlimen pada 18 Mei ini dikekalkan hanya satu hari bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu mengambil kira pendirian kerajaan bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai diadakan pada masa ini.

Katanya, susunan kedudukan Ahli-Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat juga akan diubah suai untuk mengamalkan penjarakan sosial.

“Ini bagi menjamin semua ahli Dewan dapat mengambil bahagian dalam ruang lingkup prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat dalam notis mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 kepada Ahli Parlimen menyatakan istiadat perasmian Parlimen diadakan pada 18 Mei dan serentak itu diadakan mesyuarat Dewan Rakyat.

Penetapan itu mengambil kira pelaksanaan PKP – ketika itu – yang mana Dewan Rakyat akan diadakan bagi membincangkan rang undang-undang dan usul kerajaan sahaja serta tiada sesi pertanyaan jawab lisan serta usul daripada Ahli Parlimen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

One Comment

  1. Sebelum sidang parlimen, wakil2 rakyat PH patut turun padang, khususnya semasa PKP, bantu rakyat yg tercepit dgn kesusahan. Kalau Ebit Lew dan beberapa NGO boleh buat, kenapa wakil rakyat parlimen 222 itu tak kelihatan bayang mereka bertemu rakyat, kecuali beberapa org shj. Khususnya, wakil rakyat PH, jgn dok fikir untuk hadir sidang parlimen shj… sebelum tu turun padang bantu rakya di kawasan masing… Kenapa nk desak sidang parlimen diadakan shj… apakah sebab nk clain alaun ke…? Buatlah kje untuk rakyat dulu… Ahli parkimen kawasan saya… tk nampak batang hidung pun… mana kau pegi hahhhh…?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button