Berita Utama

PKPB: AKSEM Kelantan siap sedia hadapi kemasukan pendatang

Mereka mungkin guna pangkalan haram masuk ke negara ini

TUMPAT, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Kelantan bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku kemasukan pendatang tanpa izin terutama rakyat negara jiran yang kembali ke negara ini untuk bekerja apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa di negeri itu.

Komander AKSEM Kelantan Rusli Karim berkata golongan itu berkemungkinan besar menggunakan pangkalan haram untuk masuk ke negara ini dan kembali bekerja seperti di kedai makan serta beberapa sektor lain.

“Kita sudah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan itu dan AKSEM (Kelantan) bersama agensi penguat kuasa yang lain akan bersama-sama menanganinya,” katanya kepada pemberita di sekatan jalan raya di Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Kelantan masih menangguhkan pelaksanaan PKPB hingga diputuskan kerajaan negeri dalam mesyuarat khas Khamis ini meskipun beberapa negeri telah mula melaksanakannya hari ini.

Sementara itu, Rusli berkata sepanjang Ramadan ini kawalan ketat di sempadan terus dilaksanakan terutama di kawasan pangkalan haram dan pihaknya berharap penduduk setempat dapat memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan.

“Terdapat tiga sekatan jalan raya, di Bukit Bunga, Jeli; Pengkalan Kubor di Tumpat; dan Rantau Panjang di Pasir Mas selain rondaan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

Beliau berkata seramai 178 anggota termasuk lima pegawai yang bertugas 24 jam demi menjamin keselamatan di sempadan negara. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close