Berita UtamaDunia

PKPB: Majikan jangan abai aspek keselamatan pekerja

NIOSH juga perlu bantu majikan adaptasi SOP baharu secara optimum

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Majikan diharap tidak mengabaikan aspek kesihatan dan keselamatan pekerja yang sudah mula bertugas susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Ismail Sualman berkata, selain itu, pihak Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) juga diharapkan dapat membantu para majikan dalam mengadaptasikan prosedur operasi standard (SOP) secara optimum.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara menegaskan, ia supaya pekerja dan majikan tidak terbeban dengan normal baharu.

“PKPB ini diharap dapat merancakkan kembali sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial yang telah dilesukan sepanjang tempoh PKP. 

“Pekerja mula diberikan ruang untuk bertugas mengikut normal baharu. Bekerja secara bergilir di rumah dan di pejabat atau tempat bertugas. 

“Pun begitu, amalan penjarakan sosial perlu diteruskan dan perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu artikel yang disiarkan di Sinar Harian, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, wabak COVID-19 bukan alasan untuk berdiam diri dan melupakan tugas serta peranan hakiki bagi menghasilkan produktiviti. 

“Cuma pendekatannya perlu diolah dan disesuaikan dengan normal baharu yang akan menjadi amalan masa kini dan mendatang.

“Sesiapa pun kita, sama ada bekerja kerajaan, sendiri, usahawan atau berkerja sendiri perlu lebih kreatif, inovatif dan melakukan tugas di luar kebiasaan,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar pendekatan ketiga ini berjaya mencapai matlamatnya. 

“Kita juga mengimpikan supaya pengorbanan dan kesabaran rakyat yang ‘setia’ duduk di rumah yang telah dapat memutuskan rantaian wabak COVID-19. 

“Kita juga mengharap agar pekerja mengutamakan produktiviti dan terus menyuntik pembangunan negara tercinta,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close