Berita Utama

PKPB: Syor letak penguatkuasa di premis beroperasi

Mohon masjid diberikan kelonggaran dengan SOP yang spesifik

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Kerajaan disaran menempatkan penguatkuasa di premis yang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) supaya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dapat dipatuhi.

Ketua Pemuda Dewan PAS, Ir Haji Khairil Nizam Khirudin berkata, penguatkuasa yang dimaksudkan adalah dari kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), anggota polis, tentera atau Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Kita turut mengesyorkan pemantauan dan kawalan diperanankan oleh pihak kesatuan sekerja di sektor terbabit. Malah, amat digalakkan sentiasa merujuk dan mengadakan rundingan sekerapnya dengan pihak berkuasa yang menyelia.

“Selain itu, perbincangan bersama antara pihak majikan dan pekerja berkenaan operasi syarikat untuk mencapai keputusan menang-menang dalam memenuhi matlamat dan sasaran. Keselamatan di tempat kerja adalah satu kemestian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairil Nizam berkata, sekiranya pihak industri, perniagaan dan perkhidmatan diberikan kelonggaran dengan SOP atas nama penjanaan ekonomi, maka pihaknya memohon agar masjid juga boleh diberikan kelonggaran dengan SOP yang spesifik atas nama pembinaan akidah dan pembangunan ummah.

“PKPB tidak bermaksud bebebasan mutlak. Ia terikat dengan SOP yang jauh lebih ketat dan terperinci. Ia adalah keperluan untuk menunaikan tuntutan sosioekonomi rakyat dan negara, khususnya oleh pihak industri, perniagaan dan perkhidmatan.

“Jika berlaku pelanggaran SOP PKPB? Maka, tentunya berdepan tindakan undang-undang yang tiada lagi kompromi atau budi bicara,” katanya.

PKPB yang mula dilaksanakan hari ini sudah diwartakan, sekali gus semua peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini terbatal secara automatik.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, semua pihak di seluruh negara sama ada di negeri dan daerah tertakluk kepada SOP yang ditetapkan seperti diwarta mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi berkuatkuasa.

Katanya, apabila PKPB atau PKP 5 ini sudah diwartakan maka PKP 4 yang diwartakan sebelum ini terbatal kerana pewartaan itu turut menyatakan tarikh permulaan dan penamatannya.

“Oleh itu PKP 4 yang diwartakan terbatal kerana kita sudah warta PKP 5, dan tidak timbul isu ada pihak tidak mahu mematuhinya kerana itu adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close