Berita Utama

‘Rule of law’ kembali bernafas di bawah PN

Tindakan perundangan tanpa pilih bulu kembalikan kepercayaan rakyat

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Pendekatan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang melaksanakan undang–undang tanpa memilih bulu merupakan satu tindakan tepat.

Ketua Media Muafakat, Haji Rashidi Haris berkata, ia bukan sahaja dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara yang pernah berada pada kedudukan tidak sepatutnya ketika di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Malah katanya, menegakkan keadilan merupakan kewajipan yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dan integriti kerana ia akan disoal di akhirat kelak.

“Selama ini kita sering melihat konsep ‘rule of law’ dijuarai oleh golongan-golongan liberal yang selalu membawa suatu stereotaip serta tanggapan bahawa kerajaan muslim korup dan tidak mematuhi konsep ‘rule of law’.

“Kita perlu memahami bahawa konsep ‘rule of law’ bukan milik eksklusif tamadun Barat kerana konsep ini sudah terdapat di dalam Islam melalui hadis Rasulullah SAW,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Rashidi berkata, selaku kerajaan majoriti Melayu Islam, PN perlu menunjukkan komitmen terhadap konsep ‘rule of law’ dan tidak membiarkan golongan liberal menjadikan ia modal retorik politik bagi menjatuhkan kerajaan seperti sebelum ini.

“Kerajaan PN hari ini tidak boleh lakukan kesilapan sama tetapi mereka perlu tunjukkan bahawa mereka boleh dijadikan contoh dalam menjalankan keadilan untuk semua,” katanya.

Terdahulu, anak kepada Presiden UMNO iaitu Datuk Nurul Hidayah dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff akan dituduh di mahkamah kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya sudah mendapat arahan dari pihak Jabatan Peguam Negara untuk menuduh kedua-duanya dalam masa terdekat.

Nurul Hidayah, 41, sebelum ini memuat naik beberapa gambar di Instagram ketika dia dan suaminya bertemu Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri serta Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad di pejabat masing-masing.

Perkara itu mendapat kecaman netizen yang mendakwa beliau dan suaminya melanggar PKP dan seolah-olah menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai anak tokoh politik untuk membolehkannya berbuat demikian.

Walaupun foto dimuat naik Nurul Hidayah menunjukkan ada penjarakan sosial, namun netizen tetap mengkritik tindakan itu selain menuduhnya sebagai ‘kebal’ di sisi undang-undang.

Susulan kecaman yang diterima, Nurul Hidayah menerusi posting di Instagram menyelar tindakan netizen itu selain mencabar mereka membuat laporan polis terhadapnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button