Berita Utama

Sedia pinda Akta 333, hukuman berat kepada pemandu mabuk

Perlu penelitian bersama PDRM, JPJ, MIROS dan Peguam Negara

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedia meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi melaksanakan hukuman lebih berat ke atas pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau telah meminta Jabatan Pengangkutan Jalan meneliti semula akta berkenaan, termasuk Seksyen 45 dan 45A berkaitan menjaga kenderaan motor semasa berada di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah yang melebihi had ditetapkan.

Memandang serius isu berkaitan pemandu mabuk kebelakangan ini, beliau berkata, penelitian pindaan Akta 333 itu turut membabitkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Katanya, ketika ini, mengikut Seksyen 44 (1) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM8,000 serta tidak lebih daripada RM20,000 bagi pesalah yang disabitkan.

“Saya juga ingin menegaskan kepada para pemandu supaya tidak memandu apa jua jenis kenderaan sekiranya berada dalam keadaan mabuk, sebaliknya menggunakan perkhidmatan teksi atau e-hailing.

“Ini sekali gus dapat mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya khususnya melibatkan kematian pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, seorang anggota polis maut setelah dirempuh dalam sekatan jalan raya Op COVID-19 berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS).

Dalam kejadian jam 2.11 pagi itu, Allahyarham Korporal Safwan Muhammad Ismail, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya LEKAS, Kajang.

Susulan rempuhan itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya Op COVID-19 berhampiran plaza berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button