Berita Utama

Singapura catat 573 kes baharu

Jumlah keseluruhan dijangkiti virus cecah 18,778 kes

SINGAPURA, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Singapura hari ini mengesahkan 573 lagi kes positif COVID-19, dengan lima daripadanya merupakan rakyat atau pemastautin tetap republik itu.

Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan berkata, majoriti kes adalah pekerja asing yang tinggal di asrama. Dengan kes baharu ini, jumlah mereka yang dijangkiti virus itu mencecah 18,778.

MOH masih meneliti perincian kes-kes dan akan mengemas kini maklumat berkenaan kemudian.

Dalam data terperinci dikeluarkan lewat Ahad, kementerian itu berkata, tiada lagi kes berkaitan stesen MRT Maxwell, di Jalan Neil untuk dua tempoh inkubasi lepas, dan sekarang kluster itu telah ditutup.

Republik itu juga telah mengenal pasti enam kluster baharu semalam, dengan kluster terbesar S11 Dormitory @ Punggol yang setakat ini mencecah 2,505 kes disahkan.

Pada Ahad jumlah keseluruhan kes ialah 18,205, dan Singapura mengklasifikasikan 1,224 daripadanya sebagai kes komuniti, 579 kes import dan 539 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama.

Pekerja asing yang tinggal di asrama merupakan majoriti daripada jumlah keseluruhan kes iaitu 87 peratus atau 15,833 kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close