Berita Utama

Skim moratorium ibarat jatuh ditimpa tangga

Bayaran faedah terakru tak capai hasrat kerajaan bantu rakyat

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Faedah terakru bagi pinjaman sewa beli dan keuntungan bagi pembiayaan Islam berkadar tetap yang perlu dibayar oleh peminjam yang mengambil moratorium, tidak akan membantu hasrat kerajaan membantu mereka yang terkesan dengan situasi sekarang.

Pengurus Pembangunan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana jika mereka tahu pengambilan moratorium akan dikenakan faedah tambahan, maka ramai yang tidak akan mengambil skim itu dan mengambil keputusan untuk bayar seperti biasa.

“Jika ini berlaku, maka ia tidak akan membantu hasrat kerajaan untuk membantu individu atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan sebab sekarang ini mereka terkesan dan tidak mampu bayar.

“Jika mereka tidak mampu bayar, mereka mengambil moratorium. Tetapi sebenarnya apabila mengambil moratorium, akhirnya mereka kena bayar jumlah yang sama bersama faedah tambahan.

“Perkara ini membangkitkan kemarahan orang ramai termasuk mereka yang meminjam pinjaman tetap,” katanya dalam temu bual Pertiwi Eksklusif, hari ini.

Ahmed Razman memaklumkan bahawa menurut International Financial Reporting Standards (IFRS), faedah terakru ini berkaitan dengan ‘modification loss’ apabila bank lambat terima bayaran akan berlaku kerugian.

Justeru katanya, satu lagi perkara yang peminjam tidak berpuas hati apabila kerugian yang dialami oleh bank ini ‘dicampakkan’ kepada mereka supaya bank tidak rugi dan untung seperti biasa.

“Walaupun kita lihat di sini bukan peminjam yang bersalah sebab sejak 27 Mac itu peminjam memang rata-rata ingat tidak ada faedah tambahan. Jadi (ibarat) jatuh ditimpa tangga apabila sangkaan semua tidak ada faedah tapi kena bayar balik,” katanya.

Sebelum ini, timbul kekeliruan umum berkenaan kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan berkaitan skim moratorium (penangguhan) enam bulan bayaran balik pinjaman sewa beli yang ditawarkan oleh institusi kewangan

Rata-rata netizen nyata kecewa dengan pengumuman terbaharu dari bank pusat itu yang disifatkan sebagai bercanggah dengan pengumuman yang disiarkan pada 25 Mac 2020 lalu.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, kekeliruan yang timbul adalah disebabkan oleh salah tanggapan bahawa jumlah bayaran balik sesuatu pinjaman Sewa Beli tidak boleh diubah.

Bank pusat berkata, salah tanggapan itu juga sedikit sebanyak mungkin disebabkan oleh ilustrasi pengiraan yang ditunjukkan dalam versi awal soalan lazim (FAQ), yang menggunakan beberapa andaian dan kaveat.

Sehubungan dengan itu, BNM telah menerbitkan sebuah dokumen ‘Soalan Lazim (FAQs) Mengenai Pengendalian Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap’ yang telah dikemaskini di laman web BNM.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close