Berita UtamaIstimewa

MCA gesa bina banyak lagi sekolah Cina, pemimpin Melayu tak rasa tercabar?

Lebih baik promosikan SMK sedia ada kepada murid-murid SJKC

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 30 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Tatkala masih ada lagi sekolah daif yang mengalami pelbagai masalah fizikal, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dengan bangganya mengumumkan peruntukan kepada 16 buah Sekolah Menengah Cina.

Walhal, umum mengetahui kebanyakan sekolah Cina – sama ada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ataupun Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) – mempunyai lembaga pengelola sekolah yang menguruskan kutipan awam khusus untuk pembangunan sekolah.

Serentak itu, Ketua Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Azizah Che Awang membangkitkan persoalan mengapa peruntukan dana sekolah mereka didahulukan.

Beliau berkata, sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, Mah seharusnya mempromosikan sekolah menengah kebangsaan (SMK) sedia ada kepada murid-murid SJKC.

“Ini kerana itulah yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1961 dalam merealisasikan perpaduan nasional.

“Lagi pun Datuk Mah bukanlah Timbalan Menteri Pendidikan untuk kaum Cina sahaja, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Justeru, Wanita BERJASA menyeru agar SMK terus diperkasakan dan dipromosikan oleh kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Setiausaha MCA Bahagian Rasah, Ng Kian Nam yang menggesa kerajaan untuk bersetuju membina lebih banyak sekolah Cina di kawasan perumahan baharu.

Desakan itu disuarakan selepas Mah memberi peruntukan bagi penyelenggaraan dan pembaikan 16 Sekolah Menengah Cina.

Sambil berterima kasih di atas peruntukan itu, Ng menggesa kerajaan untuk bersetuju membina lebih banyak sekolah Cina di kawasan perumahan baharu.

Beliau juga dilaporkan mendesak kerajaan untuk memenuhi komitmennya menyusun semula atau menubuhkan lebih banyak sekolah Cina, sambil berkata, mereka juga harus menjaga status sekolah-sekolah ini termasuk menghormati kedaulatan dewan pengarah, mempromosikan budaya Cina, dan menyediakan lebih ramai guru.

Menempelak gesaan itu, Azizah berkata, kenyataan sedemikian jelas memberikan perspektif negatif terhadap SMK.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin Melayu lebih berani mempertahankan kepentingan watan dan identiti nasional tanpa tunduk kepada desakan pihak yang mempertahankan sekolah vernakular.

“Tidakkah pemimpin Melayu dalam kerajaan rasa tercabar kerana mereka adalah produk SMK?

“Tidak berkualitikah kepimpinan mereka? Atau adakah ini taktik MCA untuk melakukan perpindahan pengundi akibat pertumbuhan taman-taman baru di bandar?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button