Berita Utama

Strategi PKPB tak kemas, gagal dapat konsensus kerajaan negeri

Rumitkan sektor perniagaan kerana rentas negeri dan sempadan

BANGI, 11 Ramadan 1441H, Isnin – Strategi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disifatkan sebagai tidak kemas dan inklusif meskipun keputusan kerajaan Pusat dibuat selepas mendapatkan nasihat saintifik terbaik serta berpandukan data yang meyakinkan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, satu masalah nyata ialah kegagalan Menteri Kanan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi berbincang, berunding dan mendapatkan konsensus dari semua kerajaan negeri sebelum keputusan tersebut diumumkan.

Tegasnya, adalah sangat penting keputusan ini dibawa ke perbincangan dengan semua kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan semua.

“Namun ia jelas tidak dilaksanakan. Kegagalan ini menunjukkan kelemahan ketara dalam kepimpinan, strategi dan penyelarasan yang berkaitan dengan pemulihan ekonomi negara.

“Ia telah merumitkan sektor perniagaan dan perdagangan kerana ekonomi Malaysia sifatnya adalah rentas negeri dan sempadan. Tetapi yang lebih terkesan ialah kewibawaan Kerajaan Perikatan Nasional dalam menangani fasa pemulihan ekonomi negara.

“Apa yang berlaku adalah permulaan yang tidak baik dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, keputusan kerajaan untuk ‘restart’ hampir keseluruhan sektor ekonomi melalui strategi pelonggaran PKPB telah mendapat reaksi yang pelbagai.

Bagaimanapun katanya, keputusan beberapa kerajaan negeri adalah diluar jangkaan apabila kebanyakannya membuat keputusan untuk tidak melaksanakan saranan kerajaan Pusat.

Beliau menjelaskan, negeri-negeri tersebut mengambil langkah berhati-hati dengan tidak membenarkan sektor perniagaan dan perdagangan beroperasi seperti yang disarankan kerana tiadanya ‘a soft landing exit strategy’.

“Justeru, Kabinet Perikatan Nasional mesti mengambil teladan dari insiden ini. Naratif baru dalam sistem federalisme kita telah muncul. Hubungan kerajaan Pusat dengan negeri-negeri dalam Persekutuan telah menampakkan ‘the new normal’. Zaman di mana semua kebitaraan adalah pada kerajaan Pusat telah berakhir,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi membolehkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial beroperasi pada hari ini.

Antara sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah makanan, sukan dan rekreasi, pengangkutan, pembuatan, peruncitan, minyak dan gas.

Bagaimanapun, tidak semua negeri akan menguatkuasakan PKPB pada hari ini kerana ingin membendung penularan jangkitan COVID-19 selain memastikan rakyat masing-masing tidak terdedah dengan jangkitan tersebut.

Negeri yang menangguhkan dan tidak akan melaksanakan PKPB ialah Kedah; Sarawak; Sabah; Selangor; Negeri Sembilan; Pulau Pinang; Pahang; serta Kelantan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close