180 positif COVID-19 di kawasan PKPD
Kluster Pasar Borong KL berkait dengan kluster perhimpunan di Seri Petaling

PUTRAJAYA, 12 Ramadan 1441H, Selasa – Sebanyak 180 kes positif COVID-19 membabitkan kluster Pusat Bandar Utara dan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 20 April lalu, dikesan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 100 kes dikesan dalam kawasan PKPD dan 80 kes di luar kawasan PKPD.
“PKPD di beberapa lokaliti di Pusat Bandar Utara dan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) ditamatkan semalam, bagaimanapun Parcel C, D, E1, E2, E3 dan F di Pusat Bandar Utara dilanjutkan tempoh PKPD sehingga 12 Mei ini.
“Jumlah keseluruhan ini termasuk peniaga dan bukan peniaga seperti ahli keluarga peniaga, pengunjung dan yang orang yang mempunyai kontak rapat dengan kluster ini,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini COVID-19 di kementeriannya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, KKM mendapati kluster Pasar Borong Kuala Lumpur berkaitan dengan kluster Perhimpunan di Seri Petaling.
“Kes indeks iaitu kes ke-3,039 bagi kluster ini adalah salah seorang peserta perhimpunan tersebut.
“Terdapat satu kematian membabitkan warga Myanmar bagi kluster ini,” katanya.