Berita Utama

AG diminta teruskan prosiding komital terhadap Tommy Thomas

Prosiding sangat kritikal bersihkan integriti Jabatan Peguam Negara

BANGI, 12 Ramadan 1441H, Selasa – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meneruskan prosiding komital terhadap Tan Sri Tommy Thomas.

Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, ia sebagai satu pengajaran kepada semua pihak terutamanya sesiapa jua yang menjawat jawatan Peguam Negara itu sendiri.

Beliau berkata, ISMA menyokong penuh usaha bapa anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mendapatkan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC), berhubung permohonan prosiding komital yang difailkannya terhadap Tommy yang telah campur tangan dalam urusan sekali gus mengganggu mahkamah. 

“Saya merasakan bahawa prosiding yang dibuat ini adalah sangat kritikal bagi membersihkan imej dan integriti Jabatan Peguam Negara dan yang paling penting ialah imej yang baik kepada sistem kehakiman dalam negara kita. 

“Kita tidak boleh biarkan perkara seperti ini berulang lagi terutamanya dalam kes-kes berprofil tinggi yang boleh mencetuskan isu perkauman dan agama sebagaimana dalam kes Allahyarham Muhammad Adib ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, tindakan Tommy sememangnya sesuatu yang sangat tidak wajar dan tak boleh diterima lebih-lebih lagi apabila pelakunya adalah Peguam Negara. 

“Isu ini merupakan soal prinsip dan etika sebagai seorang profesional dan seorang Peguam Negara. 

“Adalah tidak wajar untuk Tommy Thomas yang sepatutnya faham tentang tatacara perbicaraan untuk mengganggu gugat urusan dan keputusan mahkamah menggunakan kuasa dan kapasitinya sebagai Peguam Negara. 

“Malah, kita difahamkan bahawa beliau seolah-olah membuat keputusan ‘premeditated’, apabila beliau sesuka hati mengumumkan bahawa tidak adanya kes bunuh sebelum ada sebarang keputusan dibuat di mahkamah,” katanya.

Lebih malang lagi, katanya, apabila Tommy melepaskan suspek-suspek pembunuhan yang telah ditangkap oleh pihak polis tanpa sebab yang kukuh, yang akhirnya mereka hilang entah ke mana.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama sempena Hari Bomba Sedunia tahun ini untuk memberikan sokong kepada tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh bapa Allahyarham Muhammad Adib untuk meminta Peguam Negara meneruskan prosiding komital terhadap salah laku yang dibuat oleh Tommy Thomas ini. 

“Moga keadilan tertegak buatmu, wahai Adib,” katanya Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA).

Hari ini, media melaporkan babawa bapa Muhammad Adib telah mengemukakan representasi kepada Idrus bagi mendapatkan AGC berhubung permohonan prosiding komital yang difailkannya terhadap Tommy.

Peguam Aidil Khalid, yang mewakili bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid berkata, pihaknya menghantar surat representasi itu menerusi faks dan e-mel semalam.

Beliau berkata, representasi itu adalah bagi mendapatkan pendirian terkini AGC susulan pertukaran Peguam Negara pada 6 Mac lepas, sama ada masih berdiri teguh di belakang tingkah laku Thomas selaku bekas Peguam Negara, khususnya berkenaan kenyataan media yang menjadi subjek perkara prosiding menghina mahkamah, ataupun AGC menjarakkan dirinya dengan tindakan Thomas tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close