Berita Utama

COVID-19: 632 kes baharu di Singapura, jumlah keseluruhan lebih 19,000

1,457 pulih sepenuhnya, 25 kritikal dirawat di ICU, 18 meninggal dunia

SINGAPURA, 12 Ramadan 1441H, Selasa – Singapura mengesahkan 632 kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kini 19,410.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan laporan awal, sebilangan besar kes tersebut melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama dan hanya sembilan kes warga Singapura atau penduduk tetap.

Maklumat terperinci kes berkenaan sedang diusahakan dan perkembangan terkini mengenainya akan dimaklumkan lewat hari ini.

Dalam data terperinci yang dikeluarkan pada lewat Isnin, Singapura setakat ini telah mengklasifikasikan 1,229 sebagai kes komuniti, 579 sebagai kes import manakala 577 kes lagi melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama.

Sementara itu, pekerja asing di asrama, mendominasi jumlah kes setakat Isnin sebanyak 18,778 pada 87.3 peratus atau 16,393 kes.

Menurut MOH, berikutan tiada lagi kes yang berkaitan dengan Little Gems Preschool di Ang Mo Kio Street dan asrama di 55 Sungei Kadut Loop selama dua tempoh inkubasi lepas, kluster berkenaan kini ditutup.

Republik itu juga telah mengenal pasti tiga kluster baharu pada Isnin, dengan kluster terbesar S11 Dormitory @ Punggol setakat ini telah mencatatkan 2,510 kes yang disahkan.

Menurut kementerian, setakat ini 1,457 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah dibenarkan keluar hospital atau fasiliti perubatan, 25 kritikal dirawat di unit rawatan rapi dan 18 telah meninggal dunia. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close