Berita Utama

COVID-19: Barisan hadapan diberi waktu rehat bergilir-gilir

Ini berikutan kes positif baharu, penggunaan wad COVID-19 kurang

PUTRAJAYA, 12 Ramadan 1441H, Selasa – Waktu rehat akan diberikan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain khidmat kaunseling, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata memandangkan kes positif baharu COVID-19 serta penggunaan wad COVID-19 dan Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin berkurangan, kementeriannya akan menggunakan masa ini untuk memberikan cuti secara bergilir-gilir kepada kakitangan KKM.

“Barisan hadapan kesihatan dan juga kami di KKM bekerja siang malam tidak henti tetapi apa yang pasti adalah daripada pengorbanan kami, kami nampak hasilnya.

“Kami ingin menggunakan masa seminggu dua ini untuk memberikan cuti kepada kakitangan KKM secara bergilir-gilir dan juga memberi kaunseling kepada mereka.

“Ia supaya mereka dapat mempertahankan diri dalam menghadapi kebarangkalian berlakunya peningkatan kes lagi,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Katanya lagi, KKM juga akan mengadakan perancangan baharu untuk menyusun semula strategi dalam tempoh seminggu dua ini dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Kami akan menyusun semula strategi dari tenaga kerja, peralatan, hospital, makmal dan kesihatan awam dalam seminggu dua ini.

“Situasi wabak COVID-19 ini merupakan satu cabaran buat semua rakyat Malaysia dan inilah pertahanan terakhir kami untuk mengelakkan daripada bencana yang besar berlaku kepada Malaysia,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang banyak bekerja keras untuk memastikan hasil pencapaian negara dalam memerangi COVID-19 setakat ini.

Dalam perkembangan yang lain, beliau mengumumkan terdapat satu lagi kes kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 106 kes.

Katanya, setakat 12 tengah hari Selasa, terdapat 30 kes positif baharu dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 6,383 kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button