Berita Utama

Dari Zon Merah ke Perlis wajib jalani kuarantin

Mereka baru pulang dari luar negara perlu ikut ketetapan sama

KANGAR, 12 Ramadan 1441H, Selasa – Semua individu dari Zon Merah dan mereka yang pulang dari luar negara yang ingin memasuki Perlis diwajibkan menjalani kuarantin mengikut arahan Jabatan Kesihatan di pusat kuarantin, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi mengekalkan Perlis sebagai negeri Zon Hijau.

“Individu yang datang dari Zon Merah dan mereka yang pulang dari luar negara wajib menjalani kuarantin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azlan berkata sehingga hari ini, sejumlah 116 orang masih dikuarantin di tiga pusat kuarantin di Perlis dengan 49 ditempatkan di Institut Latihan Perindustrian, 43 di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis dan bakinya di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan), Kangar.

Sementara itu, ditanya mengenai operasi premis makanan di Perlis sepanjang PKPB, Azlan berkata waktunya dilanjutkan sehingga 10 malam berbanding dari 8 pagi hingga 8 malam sebelum ini.

Katanya orang ramai dibenarkan makan di kedai namun pemilik premis perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan tindakan tegas akan diambil jika gagal berbuat demikian.

Mengulas aktiviti sukan dan rekreasi, beliau berkata orang ramai hanya dibenarkan melakukan aktiviti joging di Trek Denai Larian, Pengkalan Assam, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Taman Bukit Lagi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button