Berita UtamaPendapat

Ini cadangan SOP jika mahu buka semula masjid, surau

Disinfeksi 2 kali sehari di kawasan solat, pintu, tempat ambil wuduk

MENTERI Agama Datuk Dr Zulkifli Mohamad Albakri sudah menyatakan bahawa prosedur operasi standard atau SOP untuk membolehkan surau dan masjid dibuka semula untuk solat jemaah telah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pastinya ia suatu yang ditunggu-tunggu umat Islam agar dapat kembali mengimarahkan surau dan masjid.

Namun begitu, perlu difahami membuat SOP bukanlah suatu yang mudah kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor antaranya ialah kes terbesar kluster Covid-19 adalah berpunca dari perhimpunan Agama di masjid yang seterusnya berkembang ke surau dan masjid di seluruh negara.

Umat Islam mesti memahami juga maqosid syariah yang antaranya menjaga Agama dan Nyawa mesti diseimbangkan dengan risiko penyebaran COVID-19 yang akan menjangkiti pelbagai golongan dalam masyarakat.

Warga emas dan pesakit penyakit kronik seperti Diabetes, Darah Tinggi, Kronik Paru-Paru dan Buah Pinggang Kronik adalah antara golongan yang sangat berisiko tinggi untuk mengalami sakit teruk, kegagalan organ, kemasukan ICU dan akhirnya kematian. Perlu diingatkan bahawa 30 ke 40% rakyat Malaysia menghidapi penyakit kronik seperti Diabetes dan 30% dari kematian COVID-19 adalah daripada golongan ini.

Penyakit COVID-19 adalah antara penyakit berjangkit yang sangat mudah merebak kerana spektrum gejala pesakit COVID-19 bermula daripada tiada bergejala kepada bergejala biasa demam, batuk dan sakit tekak sehinggalah bergejala teruk seperti sesak nafas disebabkan jangkitan pernafasan yang teruk dan jangkitan paru-paru.

Boleh jadi seseorang yang dijangkiti COVID-19 yang tiada gejala boleh melepasi semua saringan dan bersama bersolat di dalam surau atau masjid. Dibimbangi jika ia berlaku golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas akan dijangkiti dengan mudahnya.

Proses pengesahan diagnosis untuk COVID-19 pula bukanlah mudah. Setakat ini gold-standard diagnostik adalah dengan Real Time Reverse Transcriptase Polymerase Chain Reaction atau RT-PCR yang dibuat pada sample swab hidung atau mulut. Selain itu telah ada ujian saringan untuk masyarakat awam iaitu kit saringan pantas RTK yang mengesan antibodi badan terhadap virus COVID-19 dan kit saringan pantas Antigen yang mengesan kewujudan antigen COVID-19 dalam darah.

RTK antibodi sudah ada di Malaysia dan sedang digunakan untuk ujian akhir pesakit disyaki Covid-19 manakala ujian RTK Antigen sedang dikilangkan di Korea Selatan. Dilaporkan KKM masih menunggu ketibaan 200,000 ujian RTK Antigen ini. Justeru, bukan mudah untuk kita menjejaki COVID-19 di kalangan individu dalam masyarakat.

Sekiranya rakyat memahami hakikat ini dengan baik seharusnya rakyat boleh bersabar dan mendisiplinkan diri dengan SOP yang akan dikeluarkan. Namun saya suka untuk mencadangkan beberapa tindakan yang pastinya akan menjadi satu norma baharu kepada Umat Islam seluruhnya. Walaubagaimana pun kita tetap perlu mengikuti garis panduan agama dan pertimbangan syuro Majlis Fatwa dalam isu ini.

1. Umat Islam perlu mendisiplinkan diri menjaga kebersihan diri dengan sentiasa memakai topeng muka, membasuh tangan dengan hand sanitizer atau air dan sabun dan tidak datang ke surau atau masjid jika bergejala.

2. Warga emas dan pesakit penyakit kronik tidak terkawal atau tidak stabil adalah tidak digalakkan untuk pergi ke surau dan masjid sehinggalah kadar jangkitan menjadi sangat rendah Ro kurang dari 0.5.

3. Umat Islam juga mesti menjaga adab batuk dan bersin dengan cara menutup hidung dan mulut dengan tisu atau kain apabila batuk dan bersin. Serta membasuh tangan sejurus selepas itu.

4. Hanya jemaah lelaki yang dibenarkan untuk bersolat di surau dan masjid sekadar memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah selain mengurangkan jumlah dan kepadatan jemaah.

5. Setiap jemaah hendaklah datang awal untuk saringan suhu dan gejala di pintu masuk. Jemaah diwajibkan membawa sejadah masing-masing dan menyusun sejadah pada jarak satu meter di antara satu sama lain. Jemaah dilarang berkongsi sejadah, tasbih, kayu sugi, pewangi, Al-Quran dan lain-lain alat ibadah.

6. Waktu solat jemaah dioptimumkan dan diringkaskan agar waktu kontak dapat dikurangkan tidak melebihi 15 minit. Maka jemaah digalakkan untuk berwudhu dan solat sunat di rumah.

7. Jemaah tidak dibenarkan bersalaman selepas solat dan hendaklah segera bergerak pulang ke rumah. Ibadah sunat boleh dilakukan di rumah masing-masing.

8. AJK Surau dan masjid hendaklah membuat jadual penggiliran solat jemaah dan pembersihan kawasan surau seperti disinfeksi sekurang-kurangnya 2 kali sehari merangkumi kawasan solat, pintu-pintu surau dan tempat mengambil wuduk.

Mungkin ada lagi SOP lain yang perlu dilakukan untuk memastikan kita dapat mengurangkan risiko penyebaran COVID-19 di surau-surau dan masjid-masjid kita. Akhirnya ia kembali kepada amalan dan disiplin individu untuk patuh kepada saranan KKM dan MKN dalam usaha kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit seperti COVID-19 ini.

Wallahua’lam

Dr Mohd Ihsanuddin Abas
Pelajar Doktor Kesihatan Awam, DrPH UKM
Unit Kesihatan Awam, I-Medik

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button