Berita Utama

Jual gula mahal, peniaga berdepan tindakan undang-undang

Jual gula pasir kasar RM2.90 sekilogram melepasi harga maksimum

IPOH, 12 Ramadan 1441H, Selasa – Seorang peniaga kedai runcit di Seri Iskandar bakal berdepan tindakan undang-undang kerana menjual gula pasir kasar pada harga RM2.90 sekilogram, iaitu melepasi harga maksimum ditetapkan, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Cawangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Manjung, Wan Muhammad Badro Wan Mahmood berkata selepas menerima aduan awam mengenai perkara itu hari ini, sepasukan lima pegawai menjalankan pemeriksaan ke atas premis terbabit kira-kira 12.30 tengah hari.

“Seorang pegawai hadir ke premis runcit ini dan membuat uji beli gula. Setelah transaksi bayaran dilakukan di kaunter, premis ini mengesahkan bahawa harga jualan gula (pasir kasar) adalah RM2.90.

“Harga maksimum yang ditetapkan kerajaan bagi jualan runcit gula pasir kasar adalah RM2.85 sekilogram dan gula pasir halus RM2.95 sekilogram. Peruncit tidak boleh menjual melebihi harga yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Wan Muhammad Badro berkata hasil pemeriksaan dan siasatan awal mendapati peniaga itu mempunyai lesen runcit barang kawalan dan sengaja menaikkan harga jualan gula walaupun tiada kenaikan daripada pembekal.

Katanya, peniaga itu gagal membayar kompaun yang ditawarkan sebanyak RM5,000 kerana disyaki melanggar Perintah 3 Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berkata disebabkan itu, pihak penguat kuasa menyita 292 kilogram gula bernilai RM832 dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya termasuk pertuduhan di mahkamah yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close